Home Tempatan TN50 PERLU JANA NEGARA MAJU LESTARI

TN50 PERLU JANA NEGARA MAJU LESTARI

SHARE

Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah program yang sifatnya futuristik. Kita boleh meramal apa yang akan terjadi berasaskan petanda masa kini tetapi terlalu banyak angkubah boleh berlaku pada masa depan.

Proses transformasi dalam sosiopolitik dan budaya berlaku sangat laju. Kepesatan kemajuan sains dan teknologi mempercepatkan perubahan cara hidup dan sifatnya amat kuat mempengaruhi. Terjadinya ledakan ilmu pengetahuan kepada umat manusia menyebabkan penerokaan kepada hal yang baharu berlaku.

TN50 adalah kesinambungan Wawasan 2020 dengan moto menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang 2020 berasaskan acuan kita sendiri. Konsep ini amat penting dikupas dan diteliti ke­rana sejarah jatuh naik tamadun boleh mengulangi jejak.

Perlu dibuat analisis menyeluruh apakah pencapaian Wawasan 2020 dari sudut keilmuan dan pendidikan, kualiti sumber daya manusia yang dihasilkan, kesan terhadap pembangunan lestari, taburan pendapatan yang seimbang bagi warganya di seluruh negara, isu jurang desa dan bandar, kesan sosiobudaya berkait de­ngan pengaruh teknologi baharu yang terhasil, dan akal budi insan yang terbina sebagai asas binaan suatu tamadun.

Analisis ini penting sebagai landasan melihat apakah kemajuan 30 tahun akan datang berasaskan faktor-faktor terkini mampu ­melonjakkan kualiti manusiawi atau kita hanya kekal sebagai pengguna setia konsep negara maju dan membangun berasaskan faktor pertumbuhan KDNK semata-mata dan ­mementingkan untung rugi sahaja.

Atau kita bakal menjadi lebih liberal dalam banyak perkara dan menyebabkan isu hak asasi manusia menjadi lebih tidak terkawal, ikatan manusia dengan etika dan agama ketamadunan menjadi tiris manakala fahaman kebendaan dan kelekitan kepada amalan hedonisme membuak-buak sehingga sukar membezakan watak manusia dan haiwan. Akhirnya terlalu banyak krisis kemanusiaan dan alam sekitar terjadi dan manusia semakin jauh daripada fitrah diri dan fitrah kehidupan.

Kebangkitan tamadun Islam umpamanya menemukan sinergi pemerintah dan ulama secara seimbang. Terhasilnya proses pengilmuan dan pendidikan yang sepadu iaitu dukungan nilai-nilai murni bersama dengan etika yang alamiah sifatnya memandu kehidupan.

Corak tamadun tidak hanya berkembang dalam aspek rohaniah dan menghubungkan secara ontologi (kewujudan) dengan Pencipta tetapi membangunkan landasan epistemologi (ilmu) yang bersumberkan al-Quran dan terbina atas tunjangan aksiologi (nilai) yang Islami terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Pemindahan ilmu sains dan teknologi Islam ke Barat dulu menyebabkan sekularisasi terjadi dan berkembang sehingga kini akibat pertentangan isu gereja dan negara yang menyebabkan agama tertolak di tengah-tengah peminggiran umat Islam yang berkembang dalam batas ritual bukannya amali yang menggambarkan citra Islam sebenarnya.

Bila proses penjajahan berlaku, fahaman sekular dan liberal berkembang dan cara tradisional orang Islam tidak mampu me­lonjakkan tradisi ilmu ke tahap tinggi lalu majoriti mereka memiliki mentaliti penjajah, menjadi pengguna setia dan pengikut melulu model tamadun Barat.

Kebebasan tanpa batas agama di Barat menyebabkan struktur sosiobudaya dan kekeluargaan menjadi isu pokok. Amalan LGBT tidak saja merebak di Barat tetapi umpama bah yang meruntuhkan batas-batas agama tidak kental rohaniahnya dan lemah ­penerokaan ilmunya yang tidak mampu mendukung model kehidupan sejahtera.

Pada prinsipnya Islam tidak menolak kemajuan dan pembangunan. Fokus pembangunan dalam Islam ialah pembangunan rijal atau manusia yang terbangun akal fikirnya, terbina hati budinya dan terlihat watak amalnya sebagai contoh ikutan kepada orang lain.

Melihat TN50 dalam konteks kemajuan yang lestari, Malaysia sedang membina asas-asas perubahan dan pembangunan dengan mengguna pakai faktor syariah supaya menjadi model masa depan negara-negara Islam. Aplikasi indeks patuh syariah dalam sistem ekonomi dan kewangan di samping proses integrasi ilmu dalam sistem pendidikan me­nyumbang terhadap acuan Malaysia pada masa depan.

Aplikasi patuh syariah dalam pendekatan pengeluaran, pema­saran dan jual beli boleh me­nga­tasi amalan eksploitasi dalam pa­saran bebas yang sifatnya mem­belenggu. Perkembangan in­dustri halal dan wakaf yang ber­sifat global meningkatkan lagi kua­liti barakah dalam kalangan umat.

Justeru dalam pembangunan sumber daya insan pendekatan pendidikan integratif dan Isla­misasi ilmu (naqli-aqli) seharusnya dijadikan fokus supaya pembangunan Imtiaz, Ululalbab, Maahad Tahfiz yang berkembang subur dan Kolej Universiti al-Quran Malaysia yang bakal dibangunkan menjadi model menghasilkan profesional huffaz yang boleh bersama dalam sistem secara menyeluruh.

Kajian penulis mengenai perjalanan institusi tahfiz dan universiti yang berorientasikan Islam bertajuk, Pendekatan al-Quran dalam pengajaran dan pembelajaran, berada dalam keadaan integrasi longgar. Masih wujud pemisahan yang tidak menyebabkan asas naqliah (al-Quran) menjadi pedoman kepada faktor akliah.

Dalam merangka TN50 men­depani cabaran setempat, serantau dan dunia, faktor pendidikan terlalu penting. Minat luar biasa generasi muda mendekati al-Quran dan pendidikan agama harus dipupuk dalam orientasi ketamadunan.

Kurikulum bersifat integratif harus dibina, bidang ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi harus diberikan pandangan ketamadunan semesta. Para pendidik harus memiliki kualiti ilmu yang sepadu, kaedah pengajaran dan pembelajaran tidak hanya memberi fokus kepada pemajuan akal fikir sebaliknya turut memajukan akal budi supaya watak generasi baru lebih fitrah dan manusiawi menepati matlamat Ululalbab demi kesejahteraan masa depan umat Islam dan manusia keseluruhannya. Ini bukan impian kosong tetapi boleh terjadi dalam realiti.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Utusan Malaysia

 

Comments