Home Tempatan TN50 lahirkan rakyat berminda kelas pertama

TN50 lahirkan rakyat berminda kelas pertama

SHARE

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Transformasi Nasional 2050 (TN50) bukan sekadar bersandarkan pembangunan fizikal seperti infrastruktur dan ekonomi tetapi lebih daripada itu, pelan tersebut turut dirangka untuk me­ngubah mentaliti masyarakat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, meskipun merupakan perkara paling sukar dilakukan tetapi usa­ha tersebut mesti dijayakan kerana mentaliti penduduk sesuatu negara melambangkan nilai ke­ta­madunan sesebuah negara.

“Contoh paling mudah untuk mengubah mentaliti adalah se­perti mengajar orang ramai menaiki pengangkutan awam, mengitar semula sampah, tidak lagi menggunakan beg plastik, tidak menyebarkan berita tidak sahih dan juga hidup harmoni tanpa menyentuh soal agama dan kaum.

“Inilah kayu pengukur sebenar kepada kemajuan kita. Tiada guna jika kita berkedudukan 20 negara termaju tetapi mentaliti rakyat kita masih dalam kelas ketiga,” katanya berucap dalam majlis Sesi Pelajar Baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Bersama Menteri Mentor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin.

Tambah Khairy, rakyat khususnya golongan muda perlu membabitkan diri secara aktif dalam segala usaha kerajaan menjayakan TN50.

Katanya, dalam masa 30 tahun, generasi muda sekarang adalah mereka yang akan menggerakkan ekonomi dan pemba­ngunan negara dan kerana itu­lah kerajaan sekarang sangat me­mer­­lukan aspirasi mereka.

“Ekonomi kita berkembang dengan cepat selaras dengan kecanggihan teknologi yang sentiasa bergerak ke hadapan.

“Oleh itu, kita harus menyediakan struktur untuk menghadapi masa depan itu dari sekarang dan berharap visi TN50 akan dicapai kelak,” katanya.

utusan online

 

Comments