Home Tempatan TN50 lahir profesional kukuh pegangan agama

TN50 lahir profesional kukuh pegangan agama

SHARE
DIALOG PERDANA TN50 Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdialog dengan 1,000 peserta dalam ‘Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) Dari Perspektif Islam’ di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi. Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. – Utusan/ Abd Razak Aid

SEREMBAN 20 Feb. – Transformasi Nasional 2050 (TN50) mahu melahirkan generasi umat Islam di negara ini yang berfikiran global dan profesional namun dalam masa yang sama memiliki pegangan agama kukuh serta unggul.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi mencapai hasrat itu umat Islam perlu menyedari bahawa agama itu bukan hanya terhad di negara ini dan mesti melihatnya dari perspektif sejagat.

“Dalam tempoh 30 tahun lagi dianggarkan terdapat sembilan bi­lion manusia di dunia dan diunjurkan tiga bilion adalah umat Islam. Islam akan jadi agama paling cepat berkembang.

“Kita ingin melahirkan generasi yang pegangan agamanya tetap unggul sama ada apabila mereka menjadi jurutera, arkitek atau aristokrat. Biar pemikirannya New York tetapi hatinya (terikat kepada) Makkatul Mukaramah (Mekah),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Dialog Perdana TN50 Dari Perspektif Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bertindak sebagai mo­­derator dialog yang dihadiri kira-kira 1,000 belia dan ulama muda.

TN50 yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilancarkan di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, umat Islam juga perlu mengelak daripada menjadikan soal cabang dan isu kecil mengatasi isu pokok dalam agama sehingga menghalang kemajuan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memastikan Islam kekal sebagai agama rasmi negara pada masa akan datang selaras dengan Perlembagaan.

utusan online

Comments