Home Tempatan TN50 hanya impian, lemah sokongan, kata Kit Siang

TN50 hanya impian, lemah sokongan, kata Kit Siang

Beliau mempersoalkan tindakan BN, bagaimana hendak melancarkan wawasan negara yang dikongsi bersama jika hilang majoriti undi dalam negara.

SHARE

BUTTERWORTH: DAP hari ini menyelar dasar Perubahan Negara 2050 (TN50) yang diperkenalkan kerajaan persekutuan, dengan veteran parti itu, Lim Kit Siang bertanya bagaimana Barisan Nasional (BN) mahu merealisasikan sedangkan ia tidak mendapat sokongan majoriti.

“Bagaimana kerajaan minoriti dengan sokongan 47% dalam undi popular pada pilihan raya umum (PRU) 2013, ada locus standi untuk bercakap mengenai mencipta wawasan negara untuk 2050 tanpa penyertaan penuh 53% pengundi, yang menolak kerajaan BN,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyebut TN50 – rangka perjalanan Malaysia untuk 33 tahun akan datang – sebagai wawasan bersama yang akan memberikan rakyat Malaysia terutama golongan belia, peluang untuk membentuk negara ini dalam tempoh mendatang.

Najib, ketika melancarkan TN50 pada Khamis dalam satu sesi dialog dengan 500 pelajar Universiti Malaya yang terpilih, dilaporkan berkata wawasan bersama itu perlu datang daripada rakyat supaya ada rasa pemilikan umum.

Malaysia dijangka mengadakan PRU14 tahun ini, sebelum tempoh penggal berakhir pada tahun depan.

Gabungan pembangkang Pakatan Harapan, bersama sekutu terbarunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), menyasarkan untuk menawan kerajaan persekutuan, yang diketuai pentadbiran BN yang teruk dikecam, terjejas akibat skandal dan isu seperti kenaikan kos sara hidup.

Lim berkata apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020 yang menyasarkan Malaysia menjadi negara membangun sepenuhnya menjelang 2020 ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-6 di Parlimen pada 1991, beliau menerima sokongan majoriti pengundi.

Pada PRU 1990, Dr Mahathir mengetuai BN memenangi 53.4% undi popular. Sokongan kepada BN meningkat 65.2% pada PRU 1995 di bawah kepimpinannya.

Ironinya, Dr Mahathir baru-baru ini mendedahkan rahsia kenyataannya dalam PRU ialah memecahkan pembangkang dalam setiap PRU.

Dr Mahathir, yang kini pengkritik terbesar Najib sejak beberapa tahun lalu, mengetuai parti pembangkang baharu, PPBM sebagai pengerusi.

“Ini sangat berbeza dengan Najib, yang hanya dapat 47% undi popular tetapi menang 60% kerusi Parlimen kerana manipulasi dan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang tidak demokratik.

“Tidak akan ada dialog negara mengenai wawasan bersama untuk masa depan, kecuali ada kesepakatan negara mengenai asas rakyat Malaysia berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, prinsip Rukunegara dan Wawasan 2020.

“Adakah TN50 penolakan atau memenuhi Wawasan 2020, dan bukankah sepatutnya ada penilaian sama ada Wawasan 2020 satu kenyataan atau kegagalan,” katanya.

Lim yang juga ketua Parlimen DAP berkata demikian kepada penduduk kampung di Kampung Permatang Tok Suboh, Bukit Mertajam ketika mengadakan lawatan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga ditanya adakah sebahagian TN50 akan menjadikan “Malaysia kekal sebagai kleptokrasi dunia”.

“Jika tidak, apa yang patut rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, negeri, politik, gender atau umur, buat untuk membersihkan Malaysia daripada dihina dan dianggap sebagai kleptokrasi dunia,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments