Home Tempatan TN50: Belia sokong pengharaman jualan rokok

TN50: Belia sokong pengharaman jualan rokok

SHARE

PORT DICKSON: Cadangan supaya jualan rokok diharamkan pada 2050 mendapat sokongan padu belia pada Siri Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) di Politeknik Port Dickson di sini, malam ini.

Cadangan itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang menjadi moderator, selepas seorang belia menyuarakan aspirasi supaya bilangan klinik serta kemudahan perubatan diperbanyakkan di kawasan perumahan.

“Banyak masalah kesihatan di kalangan masyarakat Malaysia ketika ini sebenarnya adalah penyakit tidak berjangkit termasuk jantung dan obesiti.

“Berapa ramai yang setuju kalau penjualan rokok tidak dibenarkan pada 2050?,” soalnya secara terbuka yang mendapat sokongan lebih 1,400 belia yang hadir pada acara berkenaan.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad ketika mengulas mengenai aspirasi berkaitan perkhidmatan kesihatan, berkata gaya hidup sihat termasuk pemakanan dan kekerapan bersukan, memainkan peranan penting untuk mengelak penyakit.

Beliau yang bersetuju dengan penambahan bilangan kemudahan kesihatan, berkata lebih banyak hospital akan dibina oleh kerajaan dan pihak swasta terutama di kawasan yang mempunyai penduduk padat di negara ini, termasuk Negeri Sembilan.

Terdahulu, Khairy berkata, Lembah Wawasan Malaysia (MVV) yang akan dibangunkan di bahagian barat negeri ini membabitkan daerah Seremban dan Port Dickson, akan menjadi contoh kepada pembangunan masa depan.

“MVV adalah pembangunan yang terancang dan menyeluruh kerana mengambil kira semua keperluan serta kemudahan yang diperlukan, termasuk pengangkutan awam, perumahan mampu milik, perniagaan serta kawasan lapang serta hijau,” katanya.

Pembangunan MVV yang bermula tahun lalu sehingga 2045, dilakukan di kawasan seluas 153,000 hektar dibahagikan kepada lima kluster iaitu Pusat Daerah Perniagaan; Bandar Alam; Lembah Teknologi Pendidikan, Pelancongan dan Kesejahteraan dan Perbandaran Kehidupan Baru.

Berita Harian

 

Comments