Home Santai@menara Tips Penyelenggaraan Kereta Sebelum Balik Kampung

Tips Penyelenggaraan Kereta Sebelum Balik Kampung

SHARE

Hari Raya semakin dekat dan sudah tentu ramai yang akan kembali ke kampung halaman untuk menziarahi orang tua dan sanak-saudara. Disebabkan kekangan kewangan dan faktor-faktor lain, ada antara kita yang hanya dapat pulang ke kampung halaman setahun sekali. Pelbagai kenderaan menjadi pilihan, termasuk motorsikal, kereta, bas dan kapal terbang. Bagi yang kampungnya di kawasan pulau, mereka akan menaiki feri atau bot.

Perjalanan melalui lebuhraya boleh mengambil masa yang sangat lama. Terdapat banyak kes di mana ada perjalanan yang melebihi 20 jam akibat kesesakan lalu lintas. Bagi melicinkan perjalanan dan seterusnya mengelakkan kecelakaan, kenderaan wajar diselenggara dengan baik. Kali ini segmen Kereta@menara akan melihat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum perjalanan balik.

Menghantar kereta ke bengkel untuk diservis adalah cara terbaik bagi mereka yang tidak mahir dengan proses penyelenggaraan kenderaan. Sekalipun seseorang itu membuat penyelenggaraan sendiri, harus diiingat minyak dan gris dari kenderaan tidak boleh dibuang ke dalam longkang, selain mengakibatkan pencemaran, ianya juga menjadi kesalahan undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Mencari bengkel yang jujur pula bagaikan suatu perkara yang agak sukar dan jika tersilap langkah, anda mungkin terperangkap dengan bengkel yang “mencekik darah”. Untuk mengelakkan anda dari terpedaya dan memudahkan perancangan kewangan, berikut adalah perkara-perkara penting yang perlu dilakukan sebelum pulang ke kampung halaman.

1. Minyak Hitam

Cara menyukat tahap minyak

Minyak hitam perlu ditukar mengikut jadual yang ditetapkan oleh pengeluar kereta. Setiap pengeluar mempunyai jadual mereka yang tersendiri untuk tempoh penukaran minyak hitam. Jarak servis perlu merujuk kepada manual yang ada. Secara kebiasaan kereta-kereta moden diservis setiap 10,000 km dan kereta lama, diservis setiap 5,000 km.

Jarak servis ini juga bergantung kepada jenis minyak hitam yang digunakan.

Minyak mineral (mineral oil) perlu ditukar – setiap 5,000km atau 3 bulan. Amalan yang baik adalah menukar minyak kereta samada setelah jarak 5,000 km itu dicapai atau tiga bulan. Sebagai contoh, kalau selepas 3 bulan, jarak perjalanan cuma 4,000 km, adalah baik jika kenderaan itu diservis walaupun tidak mencapai 5,000 km.

Minyak semi sintetik boleh ditukar pada julat antara 5,000 km – 8,000 km.

Minyak sintetik pula – mungkin 8,000km – 15,000km bergantung kepada pengeluar kenderaan.

2. Penapis/Oil Filter – sama seperti minyak enjin

Penapis minyak hitam perlu ditukar setiap kali kereta diservis. Dalam erti kata lain, setiap kali minyak hitam ditukar, penapis minyak hitam juga perlu ditukar.

3. Spark Plug

Ditukar selepas 20,000 km perjalanan atau mengikut buku jadual penyelenggaraan. Penukaran spark plug atau palam pencucuh ini sangat berbeza dari pengeluar ke pengeluar, maka adalah sangat penting untuk merujuk kepada manual bagi mengetahui jenis palam dan jarak ianya perlu ditukar.

Terdapat macam-macam jenis palam yang ada dipasaran, daripada yang murah kepada yang boleh mengoyakkan poket. Amalan terbaik adalah menurut jadual dan jenis palam seperti yang tertera dalam manual.

Cadangan penulis adalah supaya palam diperiksa setiap 20,000 km.

4. Bateri Kereta

Bateri secara umum boleh bertahan sehingga dua tahun, bergantung kepada penggunaan. Terdapat juga kes di mana bateri bertahan lebih daripada tiga tahun, itu adalah bagi mereka yang bernasib baik dan bergantung kepada penggunaan, tidak perlu dijadikan sebagai piawaian.

Secara umum terdapat dua jenis bateri, iaitu tanpa penyelenggaraan dan dengan penyelenggaraan. Banyak kereta-kereta baru dilengkapi bateri bebas penyelenggaraan. Bateri perlu dibeli daripada jenama-jenama yang terkenal dan bukan sebarangan jenis bateri. Rosak bateri, kereta tak akan dapat dihidupkan, dan kalau nak keluar dari kawasan rehat dan rawat dalam keadaan kesesakan yang teramat, ianya akan menyukarkan usaha untuk membaiki kereta.

5. Timing Belt

Ini perlu dirujuk kepada manual, sebagai contoh Proton Saga FLX perlu ditukar timing belt pada setiap 100,000 km. Tidak seperti minyak hitam, kita tidak boleh menunggu angka 100,000 itu genap dan kemudian baru nak tukar. Adalah baik sekiranya ditukar sebelum angka 100,000 km itu dicapai. Sekiranya timing belt terputus dalam perjalanan, amat buruk padahnya, belum masuk kos yang boleh menjangkau ribuan ringgit sekiranya perlu overhaul.

Pada masa yang sama, jangan tukar terlalu awal sangat kerana kosnya adalah mahal. Untuk kereta Proton Saga FLX, timing belt ditukar sekali dengan FEAD belt, atau Front End Auxillary Drive, dalam erti kata lain, tali yang bertanggungjawab menjalankan penghawa dingin dan stereng kuasa.

Kebanyakkan kereta-kereta baru dilengkapi timing chain, yang tidak perlu ditukar sebegitu kerap dan boleh bertahan untuk tempoh yang sangat lama.

6. Clutch Plate

Clutch plate ini kebiasaannya jarang ditukar ganti melainkan kereta anda mengalami simptom clutch slipping semasa sedang memandu dan hanya untuk kereta-kereta manual sahaja.

7. Air Filter (penapis udara)

Biasanya perlu ditukar secara amnya setiap 20,000 km. Jika menggunakan penapis sukan, maka anda hanya perlu mencucinya dengan air dan pasangkannya kembali, tanpa perlu ditukar.

9. Automatic Transmission Fluid (minyak pelincir transmisi automatik)

Minyak ni memang penting bagi kenderaan jenis automatik. Minyak ini perlu ditukar pada setiap 60,000 km untuk kereta jenis Proton Saga FLX. Namun bagi setiap jenis kenderaan julat penukaran minyak ini perlu merujuk kepada manual kenderaan. Sekiranya tidak ditukar pada masanya, boleh mendatang bahana kepada wang simpanan anda.

10. Radiator Coolant (cecair penyejuk)

Boleh ditambah ke dalam radiator sekiranya kurang air. Penggunaan coolant adalah lebih baik daripada air kerana coolant dapat mencegah enjin daripada berkarat. Harga sebotol adalah RM8-RM15. Selalunya berwarna hijau.

Selain daripada itu, coolant juga memudahkan enjin beroperasi kerana ianya lambat mendidih daripada air. Sekiranya kipas penyejuk rosak, coolant akan memberi ketahanan lebih lama sebelum anda dapat menjejak bengkel berhampiran.

11. Air-Cond Belt/Alternator Belt/Front End Auxillary Drive (FEAD Belt)

Tali-tali ini perlu ditukar sekiranya nampak keretakan atau kelusuhan, bagi Proton Saga FLX, tali FEAD perlu ditukar setiap 100,000 km.

12. Tayar

Tips penjagaan tayar

Tayar perlu ditukar sekiranya bunganya telah haus, ataupun memperlihatkan keretakan halus. Sekiranya tayar sudah mula meretak, ini bermakna tayar itu sudah lama dan tidak selamat digunakan untuk perjalanan serta perlu ditukar dengan segera.

Adalah amalan yang baik untuk menukar tayar setiap dua buah dan bukan kesemua empat-empat tayar. Sebagi contoh, dua tayar depan yang telah dihaus ditukar dan kemudian dua tayar belakang, kaedah ini juga boleh menyelamatkan wang ringgit. Namun untuk kereta yang tidak diselenggara dengan baik, dan tayar telah haus akibat alignment yang tidak betul maka tidak ada pilihan melainkan menukar kesemua tayar-tayar yang ada.

Demikianlah serba sedikit panduan bagi penjagaan dan penyelenggaraan kenderaan supaya kita tidak menghadapi masalah semasa menyambut musim perayaan akan datang.

Akhir kata, selamat berpuasa dan selamat menyambut hari lebaran yang mendatang.

Comments