Home Tempatan Tindakan Daim Jelas Melanggar Kedaulatan Undang-Undang – Azril Mohd Amin

Tindakan Daim Jelas Melanggar Kedaulatan Undang-Undang – Azril Mohd Amin

SHARE

Kuala Lumpur: Tindakan yang dibuat oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang dikatakan telah berjumpa dan meminta Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin untuk meletak jawatan adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan jelas melanggar semangat perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

Demikian pandangan yang dikongsikan oleh peguam dan aktivis, Azril Mohd Amin tentang isu yang mendapat kecaman ramai itu.

“Tindakan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mewakili Council of Eminent Persons (CEP) merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana hal tersebut jelas melanggar semangat ‘constitutionalism’ dan kedaulatan undang-undang.”

Menurut beliau lagi yang juga merupakan Ketua Eksekutif NGO Hak Asasi CENTHRA, tindakan CEP jelas mengenepikan doktrin pemisahan kuasa dan apa yang berlaku merupakan penghinaan terhadap Institusi Kehakiman Negara yang terpaksa tunduk kepada kuasa eksekutif.

Ditanya apakah perasaan beliau sebagai pengamal undang-undang terhadap tindakan Tun Daim, adakah ianya memalukan kerajaan Malaysia Baharu yang sudah berjanji untuk tidak mengulangi pentadbiran tidak berintegriti kerajaan lama, Azril berkata, hal ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana CEP bukanlah merupakan suatu entiti yang sah dari kaca mata perundangan.

Jelas beliau, entiti tersebut diumumkan secara unilateral oleh YAB Tun Mahathir Mohamed, serta tidak mempunyai punca kuasa dan terma rujukan yang jelas dan sepatutnya dibubarkan sahaja.

Menurut beliau lagi, jika betul kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhasrat memperbaiki ekonomi negara, penubuhan Jawatankuasa Kabinet sebagai contoh boleh diamalkan dalam ruang lingkup perundangan.

“Mekanisme tersebut lebih jelas status perundangannya.”

Beliau berkata, ahli-ahli CEP sekarang boleh dijemput menganggotai Jawatankuasa Kabinet tersebut sebagai panel pakar.

“Institusi-institusi yang sedia ada seperti Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan badan-badan pemikir ekonomi yang lain juga boleh dilibatkan.”

“Status perundangan institusi tersebut lebih jelas dan muktamad,” tambahnya.

Ketika diminta nasihatnya kepada tokoh-tokoh Council of Eminent Persons supaya tidak melangkau peranan dan amanah yang sedang digalas mereka Azril Mohd Amin berkata, “Mereka perlu merujuk pada pejabat Peguam Negara berhubung isu-isu Perlembagaan yang timbul dalam menjalankan tugas.”

“Ini bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku yang boleh mengakibatkan prinsip kedaulatan undang-undang dicabul.”

Comments