Home Tempatan Tiga negara perangi Daesh – TPM

Tiga negara perangi Daesh – TPM

SHARE

PUTRAJAYA 26 Jan. – Malaysia, Indonesia dan Filipina akan terus mening­katkan kerjasama bagi memburu dan membanteras akti­viti keganasan di rantau ini menerusi operasi bersepadu melibatkan pihak keselamatan ketiga-tiga negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketiga-tiga negara itu sangat prihatin dengan isu ke­selamatan di rantau ini terutama­nya melibatkan kumpulan pengganas Daesh yang bukan sahaja menimbulkan kekacauan malah giat merekrut ahli-ahli baharu.

“Kerajaan telah berbincang mengenai isu Daesh bersama Indonesia dan mereka sangat bimbang dengan penyertaan segelintir rakyat negara itu dalam kumpulan pengganas Daesh.

“Dalam hal ini Indonesia turut memperkenalkan beberapa undang-undang baharu yang lebih tegas seperti Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA) dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Khas Menangani Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA) yang diperkenalkan di sini bagi memerangi aktiviti keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Indonesia Ke Malaysia, Herman Prayitno di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Herman yang telah bertugas lebih empat tahun di Malaysia bakal digantikan dengan pemilik syarikat penerbangan tambang murah Lion Air, Rusdi Kirana.

Menurut Ahmad Zahid, kerjasama membanteras aktiviti keganasan di rantau ini bermula dengan komitmen bersama yang ditunjukkan antara Filipina dan Indonesia.

“Langkah proaktif ini telah di­mulakan antara Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan kemudiannya kerjasama ini dipersetujui oleh Malaysia selepas Duterte bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan rasminya pada tahun lalu.

“Kerjasama ini tidak pernah dilakukan sebelum ini dan kita bersetuju untuk melaksanakan setiap operasi secara bersama bagi membanteras kumpulan pengganas,” katanya.

Mengulas mengenai peranan Herman sepanjang empat tahun menggalas tugas tersebut, Ahmad Zahid berkata, beliau sa­ngat berbangga dan berpuas hati dengan beberapa pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan sepanjang bertugas di Malaysia.

utusan online

 

Comments