Home Tempatan Tidak Tahu Bahasa Arab, Tidak Layak Memberi Pandangan Berkenaan Islam – Khalif...

Tidak Tahu Bahasa Arab, Tidak Layak Memberi Pandangan Berkenaan Islam – Khalif Muammar

SHARE

PUTRAJAYA : Membalas kenyataan Farouk A. Peru yang berfahaman anti-hadith berkenaan bahasa Arab perlu dipelajari ataupun tidak, Pengarah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS), Prof Madya Khalif Muammar berkata, seseorang yang tidak menguasai bahasa Arab tidak layak memberi pandangan tentang Islam, tanpa merujuk kepada ulama’ yang berautoriti.

Menurut beliau, “Selain daripada al-Qur’an dan Hadith, seseorang ulama’ perlu menguasai karya-karya ulama’ besar yang menjadi rujukan dalam memahami Islam, karya-karya ini juga dalam bahasa Arab, kerana ulama-ulama’ besar ini telah mendapatkan ilmu mereka daripada guru-guru mereka sehinggalah sampai sanadnya kepada Rasulullah SAW,”

“Jika kita tidak merujuk karya-karya ulama’ muktabar, maka besar kemungkinan kita akan merujuk atau terpengaruh dengan karya-karya cendekiawan yang tidak berautoriti, orientalis misalnya yang sebahagiannya memiliki agenda jahat terhadap Islam,” katanya.

Menyelar dakwaan Farouk A.Peru berhubung pemikiran Islam di negara jiran yang dirasakan lebih maju berbanding negara Arab, Prof Madya Khalif Muammar berkata, ”Jika dilihat dari kaca mata liberal dan sekular mungkin keadaan di Indonesia lebih baik daripada di Malaysia atau negara Islam lainnya, kerana di sana pluralisme agama dan sekularisme telah tersebar luas.”

“Namun, jika ditanyakan kepada umat Islam di Indonesia yang cintakan Islam, mereka akan memuji Malaysia kerana perlembagaan Malaysia meletakkan Islam di tempat yang tinggi dan atas dasar ini institusi-institusi Islam dapat dibina. Umat Islam di Indonesia menghadapi masalah dalam memperjuangkan hak mereka sebagai seorang Muslim di negara majoriti orang Islam,” jelasnya lagi.

Prof Madya Khalif Muammar turut menjelaskan dakwaan yang mengatakan para ulama’ tidak mengetahui makna perkataan yang disebutkan di dalam surah al-Ma’idah ayat 103 adalah tidak benar. Katanya, jika dilihat kepada terjemahan ayat tersebut memang terdapat sebahagian terjemahan yang membiarkan perkataan tersebut tanpa keterangan, maka di sinilah pentingnya kita merujuk kepada kitab-kitab tafsir muktabar, kerana di sanalah para ulama’ tafsir menjelaskan maksud daripada perkataan-perkataan ini.

“Contohnya Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan Bahirah dan Sa’ibah adalah sejenis unta yang diharamkan oleh kafir Quraish untuk dimakan oleh wanita, adapun Wasilah dan Ham adalah sejenis kambing yang juga diharamkan bagi kaum wanita, ia satu ajaran sebelum Islam yang menganggap binatang ini kudus (sacred), maka ayat tersebut turun untuk menafikan bahawa larangan tersebut datang daripada Allah dan menegaskan bahawa ianya satu pembohongan.” Katanya lagi.

Menurutnya, hanya para ulama’ yang pakar dalam tafsir dan bahasa yang mengetahui maksud sebenar perkataan yang musykil di dalam al-Qur’an. Manakala, tugas orang awam adalah merujuk orang-orang yang berilmu ini dan bukan mentafsirkan dengan sesuka hati.

Di antara ciri pemikiran liberalisme adalah tidak menghormati pandangan ulama’ dan menolak ijma’. Golongan liberal menggesa umat Islam untuk mempertikaikan perkara-perkara  yang asas dalam Islam seperti Shari’ah. Pandangannya terhadap hadith Nabi SAW menyambut pandangan beberapa Orientalis seperti Goldziher dan Schacht yang mempertikaikan keaslian hadith Nabi.

Selain itu, Prof Madya Khalif Muammar juga menyatakan bahawa, “Usaha-usaha seperti ini dilakukan untuk mengelirukan orang Islam yang kurang asas agamanya. Oleh kerana itu, umat Islam perlu memantapkan ilmu agama agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang sesat dan menyesatkan.”

Comments