Home Tempatan Tidak Peduli 1MDB, Antara Punca Berleluasa Ateisme – Khalid Samad

Tidak Peduli 1MDB, Antara Punca Berleluasa Ateisme – Khalid Samad

SHARE

Kuala Lumpur: Tidak peduli isu 1MDB mungkin antara penyebab kepada gejala ateisme yang semakin berleluasa di kalangan rakyat Malaysia, begitu pandangan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam pada sidang Parlimen kelmarin.

YB Khalid Samad yang memulakan soalan dengan mengatakan bahawa bertapaknya fahaman ateisme ini sebahagiannya apabila mereka melihat agama diperalatkan pemerintah seperti kata Karl Marx.

“Bertapaknya fahaman ateis ini sebahagian daripada sebabnya adalah apabila mereka melihat agama diperalatkan. Tidak untuk kebaikan tetapi sebaliknya digunakan untuk mempertahankan penyelewengan. Punca pemikiran ateis ini mereka melihat Islam tidak mendatangkan keadilan, hanya cakap, sekadar ‘lips service’. Tapi dari segi amalan dan tindakan jauh sekali. Mereka memikirkan agama sebagai alat pemerintah. Kata Karl Marx, ‘opium of the people’. Ini hakikat.”

Kata beliau lagi, untuk melawan ateisme orang Islam kena ikhlas bersuara menentang kezaliman, menolak rasuah dan penyelewengan seperti isu 1MDB.

“Inilah yang mempengaruhi pemikiran seperti yang berlaku di Timur Tengah. Kalau nak lawan ateisme, fahaman ateisme, orang Islam kena ikhlas bersuara menentang yang zalim, menolak rasuah dan penyelewengan. Tunggu pemerintah telus dalam kes 1MDB, barulah orang nampak agama power. Apa pandangan Menteri?”

Soalan tersebut mendapat jawapan bernas dan tuntas daripada pihak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang kesal dengan tohmahan dan fitnah yang sering dibuat oleh pihak pembangkang ke atas kerajaan semata-mata kerana berpolitik.

“Saya kesian dengan YB Shah Alam. Apa yang dia cakap kena balik dengan muka dia. Dulu yang banyak guna Islam, ialah dia. Kata kerajaan tolak Islam. Kerajaan sekular. Dia menghasut rakyat bahawa kerajaan tidak mengamalkan Islam. Tapi lain pula bila beliau pindah kem.”

Jelas YB Timbalan Menteri lagi, sepanjang 60 tahun pemerintahan UMNO / BN, parti tersebut berjaya membuktikan Islam yang berpaksikan akidah yang benar, yang adil dan wasatiyah dan mengiktiraf agama-agama lain, bebas untuk dipraktikkan sehingga diiktiraf negara-negara luar.

“Sepanjang 60 tahun merdeka, pemerintahan yang dinakhodai UMNO / BN inilah yang telah merangka polisi dasar kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan. Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan. Islam dalam kerangka yang pemerintah laksanakan, berpaksikan kepada akidah yang benar. Berpaksikan kepada wasatiyah dan kesederhanaan sehingga diiktiraf oleh kerajaan di luar.”

Sambung beliau lagi, “Raja Salman datang ke negara kita kerana baginda mengatakan bahawa wajah sebenar Islam ada di Malaysia, kerana Islam agama yang adil, Islam agama yang mengiktiraf kebersamaan dan kesatuan. Walaupun Islam Agama Persekutuan kita mengiktiraf agama-agama lain untuk dipraktifkan. Tidak ada agama di dunia yang mengiktiraf ‘Cuti-Cuti Malaysia’. Tidak ada di dunia hari ini yang agama-agama lain mempunyai Patung Buddha yang terbesar di Asia? Patung Hindu yang terbesar di Asia. Tetapi tidak pernah mengalami sebarang bentuk pemberontakan?.”

“Kalau inilah ketidakadilan, saya rasa ini tidak betul,” tegas YB Timbalan Menteri lagi sambil menegaskan tohmahan dan fitnah yang sering dibawa pembangkang bukan sahaja menjatuhkan maruah Malaysia malah maruah Islam itu sendiri.

Comments