Home Antarabangsa Tidak Menjual Daging Khinzir dan Arak, Pasar Raya Halal Ditutup

Tidak Menjual Daging Khinzir dan Arak, Pasar Raya Halal Ditutup

SHARE

Colombes, Perancis: Sebuah pasar raya yang memfokuskan kepada penjualan produk-produk Halal yang dimiliki oleh seorang Muslim telah diarahkan tutup oleh Mahkamah Perancis hanya kerana tidak menjual arak dan daging babi.

Pasar raya Halal tersebut yang dimiliki oleh Encik Soulemane Yalcin juga diperintahkan untuk membayar kos guaman sebanyak €4,000 (RM19,245) kepada pihak berkuasa tempatan gara-gara mengamalkan model perniagaan berasaskan barangan halal.

Memetik laporan yang disiarkan oleh The Independent, Mahkamah Nanterre telah mengeluarkan perintah tersebut selepas mendapati Pasar Raya Mini Good Price yang terletak di Colombes itu gagal mematuhi syarat kontrak penyewaan premis di mana pasar raya tersebut harus bertindak sebagai “pasar raya umum”.

Menurut laporan pegawai mahkamah, produk pasar raya itu hampir semuanya terdiri daripada produk halal.

Manakala Pihak Berkuasa Tempatan pula berkata, penduduk setempat tidak mendapat perkhidmatan yang sewajarnya kerana kedai itu tidak menjual produk arak dan khinzir.

Selain itu, Ketua Pentadbiran Pejabat Datuk Bandar, Jerome Besnard juga pernah meminta Encik Soulemane Yalcin sebagai pemilik pasar raya untuk ‘mempelbagaikan’ produk yang dijual berikutan aduan yang diterima dari penduduk setempat.

Menurut pemilik pasar raya itu, mereka menjalankan perniagaan berdasarkan permintaan pasaran tempatan.

Hujahnya disokong oleh peguamnya yang berkata, kedai itu tiada kewajipan menjual alkohol kerana ia “bukan sebahagian daripada pemakanan umum”, sebaliknya sekadar pelengkap makanan.

Mr Yalcin menambah bahawa kedai-kedai lain yang menjual arak di kawasan tersebut berhadapan dengan ‘masalah keselamatan’ dan menjelaskan bahawa sebuah pasar raya di Perancis, Franprix menunjukkan terdapat kerugian di bahagian ‘makanan istimewa’.

Walau bagaimanapun, mahkamah bertegas dengan membuat dakwaaan bahawa bekalan di kedai itu “terhad dan tidak memenuhi konsep kebaikan umum yang luas”.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan kontrak penyewaan premis itu ditamatkan dan pengusahanya diusir.

Comments