Home Tempatan Tidak Menjadi Kesalahan Wang Cukai Kerajaan Digunakan Untuk Hal Ehwal Islam –...

Tidak Menjadi Kesalahan Wang Cukai Kerajaan Digunakan Untuk Hal Ehwal Islam – Dato`Zainul Rijal Abu Bakar

SHARE

Kuala Lumpur: “Tidak menjadi kesalahan bahawa wang cukai kerajaan digunakan untuk Hal Ehwal Islam kerana perkara itu dijamin oleh kerajaan dan Perlembagaan Persekutuan,” demikian menurut Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Dato` Zainul Rijal Abu Bakar, sekaligus menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Prof Shad Saleem Faruqi yang menyatakan bahawa wang cukai digunakan untuk Islamkan bukan Islam itu menjadi kesalahan.

Dato` Zainul Rijal berkata, perkara itu adalah sah bagi Persekutuan dan Negeri untuk melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu untuk menyenggara institusi-institusi Islam yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam.

Justeru, kita minta beliau (Prof Shad) menunjukkan di bawah kesalahan mana dalam undang-undang yang mengatakan tidak boleh dikeluarkan dana kerajaan untuk pembangunan Islam.

Menurut beliau, penggunaan duit mualaf ini biasanya digunakan oleh Majlis Agama Islam tetapi majlis agama cuma ada dua sumber dana iaitu yang pertama sumber am dan yang kedua sumber zakat.

Jelas beliau, sumber am ini daripada dana kerajaan dan pihak-pihak tertentu yang bukan zakat manakala zakat pula dibayar oleh orang Islam melalui zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya.

Ujar beliau, bagi duit zakat mestilah digunakan untuk lapan asnaf mengikut hukum syarak termasuklah asnaf muallaf manakala daripada sumber am pula ia boleh digunakan untuk program-program tertentu untuk pembayaran kakitangan dan sebagainya, itu adalah sumber daripada kerajaan.

“Mungkin ada wang yang digunakan dari sumber am ini untuk tujuan konvensyen, latihan kepada muallaf tetapi itu bukan merupakan satu kesalahan sebab kalau kita lihat Perkara 12(2) Hak berkenaan dengan Pendidikan di dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan;

(2)Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi persekutuan atau suatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”

Ujar beliau, ini bermakna Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan membenarkan dana awam digunakan untuk institusi-institusi Islam tetapi tidak disebut untuk institusi bukan Islam.

“Jadi apa masalahnya kalau Perlembagaan Persekutuan sendiri sudah termaktub dan adalah sah untuk digunakan bagi menyelenggara institusi Islam ini.”

“Kenapa dipertikaikan lagi? Perkara 12(2) ini jelas membenarkan maka tidak sepatutnya timbul isu pun kalau dia tahu dan benar-benar faham,” katanya.

Sambil berpendapat bahawa adalah tidak wajar isu wang cukai bukan Islam diungkit, Dato` Zainul Rijal mengulas lanjut sebagai berkata, “Undang-Undang Persekutuan menyatakan dalam Perkara 12(2) ianya sah digunakan.”

“Jadi apa yang dia (Prof Shad) hendak komplen atau menyanggah sangat perkara itu lagi?”

Menurut Dato` Zainul Rijal lagi, “Dia (Prof Shad) perlu jelas agama Islam tidak sama kedudukannya dengan agama-agama lain kerana agama Islam diberikan keistimewaan dan inilah antara keistimewaannya di mana dana awam boleh digunakan untuk institusi agama Islam.

“Bukannya kita gunakan institusi agama Islam itu untuk mengkucar-kacirkan atau menzalimi orang bukan Islam, sama sekali tidak. Ajaran agama Islam antaranya adalah untuk menerangkan agama Islam, berdakwah kepada orang bukan Islam adalah salah satu daripada ajaran agama Islam itu sendiri,” tegas beliau.

Persoalannya, Prof Shad juga antara lain mendakwa bahawa isu tauliah mengajar sebagai tidak berperlembagaan, Dato` Zainul Rijal berpendapat bahawa Prof Shad Saleem Faruqi mungkin lupa terhadap satu keputusan kes yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Fathul Bari melawan Majlis Agama Islam di mana Fathul Bari telah dituduh mengajar tanpa tauliah di Negeri Sembilan dan dia cabar kesahan Seksyen Enakmen di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Persekutuan mengatakan tidak ada masalah.

“Jadi siapa Prof Shad hendak menyanggah keputusan Mahkamah Persekutuan?”

“Sebenarnya bagi saya sejak kebelakangan ini apa yang berlaku adalah golongan yang mahukan pluralisme agama yang mahukan semua agama disetarakan di Malaysia sedangkan sejarah Perlembagaan Persekutuan Rang Undang-Undang tidak begitu.”

“Dia (Prof Shad) seolah-olah mengatakan semua agama adalah sama. Itu yang tidak boleh diterima kerana mengikut sejarah ada sebab mengapa Islam itu diberikan keistimewaan berbanding agama lain di Malaysia.”

“Walaupun Islam diberikan keistimewaan, kita tidak menzalimi orang bukan Islam dan kita tidak paksa orang bukan Islam untuk menganuti Islam dan sudah ada jaminan-jaminan di dalam Perlembagaan,” katanya.

Tegas beliau, sekiranya sesiapa pun rakyat Malaysia ingin menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan maka seharusnya Perkara 12(2) hak mengenai pendidikan Islam ini perlu djunjung juga kerana Perlembagaan mengatakan adalah sah untuk menggunakan wang tersebut.

Comments