Home Tempatan Tiada sebab bukan Islam bimbang pindaan RUU 355

Tiada sebab bukan Islam bimbang pindaan RUU 355

SHARE

KUALA LUMPUR : Wakil badan bukan kerajaan (NGO) Hindu meminta penganut bukan Islam tidak bimbang dan gusar dengan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Jurucakapnya yang mewakili Persatuan Hindu Pahang, N Balasubramaniam, berkata pindaaan itu tidak langsung membabitkan bukan Islam.

Beliau berkata, pindaan itu juga jelas bukan bertentangan dengan semangat Perlembagaan kerana ia adalah hak dan kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang saya faham, mereka yang takut (pindaan ini) ialah sama ada penjenayah atau tauke judi. Mereka bimbang perniagaan akan rugi kerana kehilangan pelanggan Islam,” katanya berucap pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbuk di sini, hari ini.

Beliau juga yakin usaha pindaan ini akan membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

“Realiti ketika ini jenayah sedang berleluasa, dan penguatkuasaan undang-undang (Islam) ini, ia pasti dapat membendung masalah ini dan mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa ada umat Islam sendiri yang khuatir dan mempersoalkan pindaan itu. “Adakah mereka ini sudah dicabul imannya hingga hilang keyakinan pada hukum Allah,” katanya.

Berita Harian

Comments