Home Tempatan Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan gereja di Mesir: Wisma Putra

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan gereja di Mesir: Wisma Putra

SHARE

Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah mengesahkan bahawa tiada rakyat negara yang dilaporkan terlibat dalam insiden pengeboman di Gereja Koptik Mar Girgis,Tanta dan Kathedral Koptik Ortodoks Saint Mark, Alexandria, semalam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kementerian Luar Negeri melalui kedutaan Malaysia di sana akan terus memantau perkembangan berkenaan insiden itu.

“Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom di Gereja Koptik Mar Girgis di Tanta dan Kathedral Koptik Ortodoks Saint Mark di Alexandria pada 9 April 2017.

“Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Republik Arab Mesir serta kepada keluarga dan mangsa yang terlibat dalam insiden serangan tersebut,” kata kementerian itu.

Serangan berkenaan menyebabkan sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh, manakala lebih 100 yang lain cedera apabila penyerang yang juga anggota militan IS meletupkan diri di dua gereja di negara itu.

Susulan kejadian itu juga, kerajaan Mesir mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di negara berkenaan.

Sehubungan itu, Kementerian Luar Negeri mengingatkan rakyat Malaysia di Mesir supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan keselamatan di sana.

“Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh dikemukakan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menerusi talian +2 02 3761 0013, +2 012 0027 6388 atau menerusi e-mel mwcairo@kln.gov.my,” katanya.

Comments