Home Tempatan Tiada Kuil Akan Dirobohkan Jika BN Pegang Selangor – Pegawai Khas PM

Tiada Kuil Akan Dirobohkan Jika BN Pegang Selangor – Pegawai Khas PM

SHARE

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) berjanji tindakan merobohkan kuil tidak akan berlaku lagi sekiranya kerusi Selangor dimenangi oleh partinya dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) ini.

Menurut The Malay Mail Online, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Isham Jalil berkata, BN kini menentang semua tindakan merobohkan kuil secara salah.

Bahkan, lebih daripada RM50 juta juga telah diperuntukkan untuk penaiktarafan dan penyelenggaraan kuil untuk masyarakat India.

Ujarnya lagi dalam wawancara khas bersama Ketua Pengarang Tamil Nesan, K Padmanabhan, “Toleransi agama dan saling menghormati di kalangan masyarakat etnik di negara ini adalah paling utama. Sejak Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, banyak penekanan diberikan akan kepentingan kesefahaman dan toleransi di kalangan masyarakat berbilang kaum.”

“Bagaimanapun, saya sedih mendengar mengenai keadaan sebaliknya di Selangor sejak Pakatan mengambil alih kerajaan negeri pada 2008 apabila 20 kuil telah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan negeri.”

Selain itu, Isham mengulangi keyakinannya bahawa kerajaan akan mengurangkan cukai pintu supaya lebih ramai golongan muda mampu membeli rumah dan mengurangkan kos sara hidup jika BN menawan semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

“Disebabkan kenaikan besar cukai pintu dan cukai perniagaan oleh kerajaan Pakatan Harapan, harga hartanah dan kadar sewa bagi premis kediaman dan perniagaan telah meningkat dengan ketara.”

“Ini telah menyebabkan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, jadi kos sara hidup meningkat dan menimbulkan bebanan kepada penduduk di Selangor.”

Isham berkata, masalah itu juga telah menyebabkan situasi apabila rakyat di Selangor, terutama golongan muda, tidak lagi mampu untuk membeli rumah di Selangor, kerana mereka terpaksa membayar sejumlah besar bagi pinjaman rumah yang memberi kesan negatif kepada pendapatan boleh guna, justeru meningkatkan kos sara hidup.

Comments