Home Tempatan Tiada kaum boleh hidup sendiri, kata Hadi dalam ucapan Tahun Baharu

Tiada kaum boleh hidup sendiri, kata Hadi dalam ucapan Tahun Baharu

Beliau berkata perbezaan antara manusia perlu diraikan.

SHARE

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan Tahun Baharu Cina beliau menekankan aspek kepelbagaian yang diraikan dalam ajaran Islam, dengan berkata tidak ada bangsa di negara ini boleh hidup tanpa bangsa lain.

“Cina, India, Iban, Dayak, Kadazan, Siam, Orang Asal, Melayu dan lain-lain tidak boleh hidup bersendirian. Mesti hidup saling berhubungan antara satu sama lain,” kata presiden PAS itu dalam perutusan Tahun Baharu yang disambut oleh masyarakat Cina hari ini.

“Setiap bangsa hidup dengan kecenderungan sosioekonomi tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Keadaan ini mewujudkan perhubungan dan saling memerlukan antara satu sama lain.”

Beliau berkata ia sejajar dengan ajaran Islam yang menganggap semua manusia, tidak kira agama, bangsa dan warna kulit, berasal daripada satu keluarga.

“Setiap perbezaan kehidupan, budaya dan kepercayaan, tidak seharusnya mengasingkan kita kerana rasa hormat dan meraikan akan membuat kita lebih menghargai serta memerlukan sesama sendiri, lalu membawa kepada bertolong-tolongan dalam banyak perkara kebaikan dengan menjauhi juga keburukan,” kata ahli Parlimen Marang itu.

Free Malaysia Today

Comments