Home Tempatan Tiada isu kaum, exco saran buka dobi di masjid

Tiada isu kaum, exco saran buka dobi di masjid

SHARE

KUALA TERENGGANU, 29 Sept — Masjid yang mempunyai lebihan dana terutama di kawasan bandar-bandar Terengganu disaran mewujudkan satu pusat perniagaan yang menawarkan pelbagai perniagaan kategori perkhidmatan kepada masyarakat setempat sebagai jihad ekonomi umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata antara perniagaan perkhidmatan yang boleh beroperasi di masjid ialah seperti dobi layan diri dan mencuci kereta.

“Banyak manfaat bakal diperoleh oleh pihak pengurusan masjid iaitu menjana keuntungan yang boleh dipulangkan semula kepada penduduk di mukim itu terutama golongan susah dan fakir miskin.

“Bagi pelanggan pula, mereka boleh meluangkan masa sementara menunggu pakaian atau kereta itu siap dicuci untuk mengikuti ceramah, kelas usrah atau melakukan ibadah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai dobi khas untuk umat Islam yang menjadi kontroversi di Johor baru-baru ini.

Ghazali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata perkara itu perlu dilihat dengan lebih positif tanpa melibatkan isu perkauman.

“Kewujudan perniagaan kategori perkhidmatan di masjid ini sangat tepat pada masanya terutama untuk golongan wanita yang akan berasa lebih selamat kerana masjid selalunya sentiasa dipenuhi ramai jemaah sepanjang masa dan ini boleh mengurangkan kadar jenayah seperti ragut dan pecah kereta.

“Selain memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak mukim, perkhidmatan ini juga sangat diperlukan oleh golongan bermusafir yang sering singgah di masjid-masjid untuk berehat.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

The Malay Mail Online

Comments