Home Tempatan Tiada Hak Khusus Untuk Ateis Dalam Perlembagaan – CEO IKSIM

Tiada Hak Khusus Untuk Ateis Dalam Perlembagaan – CEO IKSIM

SHARE

Putrajaya – “Dia ada hak-hak lain sebagai seorang manusia, tetapi hak khusus atas pendiriannya sebagai ateis tentunya tidak diberikan oleh Perlembagaan. Ini adalah kerana apabila Perlembagaan memberikan hak kebebasan untuk percaya kepada kewujudan tuhan, maka secara jelasnya Perlembagaan tidak memberikan hak untuk menolak kewujudan tuhan. Sebarang hak bagi setiap individu adalah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sudah tentu sebarang perlakuan yang menjadi kesalahan di bawah undang-undang bukan suatu hak, sebaliknya ia adalah kesalahan! Contohnya jika seorang ateis nak melaksanakan haknya dengan mengadakan hubungan seks di luar tabii, itu bukan suatu hak, malah ia suatu kesalahan.” Demikian jawapan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dato’ Prof Mahamad Naser bin Disa kepada pertanyaan wartawan Menara.my mengenai hak golongan ateis di dalam Perlembagaan.

“Jika seorang ateis nak melarang anaknya dari mengamalkan ibadat keagamaan, itu bukan hak dia, kerana walaupun bertindak sebagai bapa, si ateis berkenaan TIADA HAK untuk mengamalkan pegangannya hingga menafikan hak org lain yang termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.”

Dato’ Prof Mahamad Naser bin Disa yang sebelum ini berkhidmat selama 25 tahun di Jabatan Peguam Negara dan terlibat di dalam kes-kes Perlembagaan turut menjelaskan bahawa struktur Perlembagaan dan kemudian Rukun Negara sengaja dilakarkan sebegini untuk menghadapi fahaman komunis yang menolak kewujudan tuhan. Malah boleh disimpulkan juga mereka yang tidak percaya kepada kewujudan tuhan adalah orang-orang yang TIDAK SETIA kepada Raja dan Negara kerana Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Tertinggi Negara dikehendaki oleh Perlembagaan untuk bersumpah dengan nama Allah. Mereka yang tidak percaya kepada kewujudan Tuhan adalah orang-orang yang tidak setia kepada sumpah Negara yang dilafazkan menurut Perkara 37(1) Perlembagaan Negara.

“Apatah lagi sebagai ahli Parlimen, semestinya seseorang itu perlu taat setia kepada YDPA. Jika dia berkempen mempertahankan hak untuk tidak percaya kepada tuhan hakikatnya dia melakukan sesuatu yang cenderung kepada tidak setia kepada YDPA dan semestinya didakwa di bawah Akta Hasutan. Malah jika yang mengeluarkan kenyataan membela hak ateis itu adalah seorang Islam, dia sebenarnya melakukan kesalahan di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah. Masalahnya hari ini, tangan dan kaki penguat kuasa agama terikat kemas. Belum pun sempat bertindak penguat kuasa agama sudah dicemuh. Sampai bila dan bagaimana kita boleh melaksanakan sumpah YDPA untuk memelihara agama Islam pada setiap masa? Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui dan menentukannya.”

Mereka-mereka ini termasuk mana-mana ahli Parlimen yang menyokong mereka, turut boleh didakwa di bawah Akta Hasutan. Ia berkenaan kecenderungan hasutan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Si ateis sebenarnya tidak mematuhi prinsip Kedaulatan Undang-Undang. Dalam undang-undang, prinsip act of god amat penting dalam undang-undang tort, insurans, kontrak dan banyak lagi. Bagaimana dia boleh mengiktiraf teori act of god ini kalau dia sendiri tidak percaya kepada tuhan? Sebenarnya seseorang tidak boleh menjadi seorang ateis, kecuali dia ada pembelaan terbaik iaitu INSANITY!” ujar Dato’ Prof Mahamad Naser lagi.

Beliau menutup perbicaraan ringkas dengan kenyataan berikut. “Justeru itu, orang yang tiada beragama hakikatnya tiada mempunyai hak yang khusus untuknya menurut Perlembagaan Persekutuan. Manakala pihak-pihak yang membela mereka, melakukannya atas muslihat tertentu.”

Comments