Home Tempatan Tiada elemen hiburan melalaikan

Tiada elemen hiburan melalaikan

SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu bakal meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2017 peringkat negeri dengan menekankan elemen perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini dan tidak menganjurkan sebarang acara berbentuk hiburan yang melalaikan.

Selain itu, terdapat beberapa acara baharu yang diperkenalkan sempena sambutan kemerdekaan tahun ini yang bertepatan dengan tema sama yang diraikan seperti tahun lalu, ‘Negaraku Sehati Sejiwa’.

Pengerusi Jawatankuasa Agungnya, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, antara acara baharu yang akan diadakan adalah Majlis Tahlil dan Solat Hajat-Doa Untuk Malaysia pada 24 Ogos jam 6.15 petang di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun.

“Sambutan tahun ini lebih kurang sama dengan tahun-tahun sebelum ini di mana kita menekankan elemen perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini dan tidak mengetengahkan sebarang bentuk acara berbentuk hiburan.

“Seperti program Doa Untuk Malaysia, walaupun Terengganu 97 peratus penduduknya adalah bumiputera, kita juga mengalu-alukan kaum dan agama lain untuk hadir pada program ini bagi sama-sama kesejahteraan negeri dan negara Malaysia,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Ir Rosli Othman.

Katanya, penglibatan rakyat negeri ini dalam mendoakan kesejahteraan negara amat dihargai dan dialu-alukan.

“Macam tahun ini, keadaan ekonomi kita agak kurang memberangsangkan, jadi, semua pihak dialu-alukan untuk mendoakan kesejahteraan negara,” katanya.

Menurut Tengku Putera, antara lain yang turut dimuatkan dalam sambutan bulan kebangsaan ialah Program Amanat Merdeka, Sambutan Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos jam 10 malam di Dataran Shahbandar, di sini serta Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2017 sejauh 4.1 kilometer (km) bermula jam 7 pagi di Stadium Ismail Nasiruddin Shah dan Taman Awam Batu Buruk.

“Sambutan Malam Ambang Merdeka tahun ini berkonsepkan perpaduan kaum dan berunsur islamik dan kerohanian dengan menampilkan persembahan daripada artis nasyid tempatan selain dimeriahkan dengan persembahan warna-warni bunga api,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan menampilkan kelainan apabila 32 Dun akan turut mengambil bahagian.

Sinar Online

Comments