Home Tempatan Tiada denda lewat baharui lesen: JPJ

Tiada denda lewat baharui lesen: JPJ

SHARE

BANGI, 1 Zulkaedah 1438H, Selasa – Tiada kadar kompaun dikenakan kepada pemandu yang lewat memperbaharui lesen sebagaimana tular menerusi aplikasi Whatsapp.

Sebaliknya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan, pihaknya hanya mengenakan kompaun kepada kesalahan memandu tanpa lesen dan yang sudah tamat tempoh.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, sebarang pembaharuan lesen memandu boleh dilakukan di semua pejabat jabatan itu atau mana-mana agensi yang dilantik.

JPJ berkata, risalah berkenaan adalah kompaun bagi kesalahan memandu atau menunggang tanpa lesen atau lesen tamat tempoh yang tertakluk mengikut Seksyen 26(1) Akta JPJ 1987.

Sehubungan itu, JPJ menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang mesej yang tular di media sosial tanpa mengetahui kesahihan sumbernya.

Orang ramai juga diminta merujuk terus kepada JPJ sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan tidak turut serta menyebarkan salah faham berkenaan.

Menerusi risalah yang tersebar itu, menyenaraikan kompaun sehingga RM300 dan mendakwa kadar yang akan dikenakan kepada pemandu adalah bergantung kepada tempoh kelewatan untuk memperbaharui lesen.

Selain itu, risalah mendakwa perkara itu adalah dibawah kesalahan Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, memandu tanpa lesen yang sah dan tamat tempoh.

Lebih mengelirukan apabila risalah tersebut turut mempamerkan logo rasmi Jabatan Pengangkutan Jalanraya Malaysian (JPJ).

Comments