Home Tempatan Tiada data sokong dakwaan sekolah Cina galak perpaduan, kata peguam

Tiada data sokong dakwaan sekolah Cina galak perpaduan, kata peguam

SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang peguam aktivis hari ini mempertikaikan dakwaan sekolah aliran Cina mempromosikan perpaduan antara kaum di negara ini.

Aidil Khalid yang mewakili kumpulan peguam dikenali sebagai Concerned Lawyers for Justice (CLJ) mengulas laporan FMT semalam mengenai seorang wanita Melayu, Farah Halijah Halim, dan pengalaman alam persekolahannya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew.

“Terdapat bukti nyata yang menunjukkan sistem pendidikan yang membolehkan sekolah aliran kaum berjalan selari bersama sistem kebangsaan yang berasingan, sebenarnya merosakkan pembinaan bangsa (nation building),” kata Aidil dalam kenyataan hari ini.

Menurut Farah, para pelajar SJKC Foon Yew bebas bergaul dan diajar tidak mendiskriminasikan kaum lain. Pengalaman itu juga mengajarnya berinteraksi dengan kaum lain secara lebih baik.

“Pendidikan sekolah Cina mengajar saya nilai penerimaan. Daripada menuntut orang menghormati dan memahami keperluan saya, saya belajar bertolak ansur dengan pandangan orang lain juga,” kata Farah.

Aidil menjawab “pengalaman peribadi” Farah terdedah kepada anggapan yang salah akibat generalisasi yang terburu-buru, dan tidak disokong data dan statistik kukuh.

Sebaliknya, laporan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) mendapati keberadaan sekolah aliran kaum menyumbang kepada penguasaan bahasa kebangsaan yang lemah, dan sikap acuh tak acup terhadap bahasa itu.

“CLJ berpandukan kepada Mahkamah Persekutuan yang mengingatkan bahawa perangka Perlembagaan Persekutuan memilih istilah “bahasa kebangsaan” dengan tujuan ia digunakan sebagai alat untuk menyatupadukan pelbagai kaum daripada pelbagai bahasa yang ada di negara ini,” kata Aidil.

Laporan Centhra memetik Prof Sharon Carsten pada 2014 yang mendapati orang Cina Malaysia mempunyai “perasaan negatif terhadap menggunakan bahasa kebangsaan”, dan Prof Teo Kok Seong pada 2015 yang mendapati 604 daripada 14,000 peserta Program Latihan Khidmat Negara 2010 “tidak boleh bercakap dalam bahasa kebangsaan”.

“Sikap sambil lewa terhadap bahasa kebangsaan bercanggah dengan semangat Perlembangaan Persekutuan,” kata Aidil.

“Walaupun berbeza kepercayaan dan amalan budaya, penghayatan dan penggunaan 1 bahasa yang sama, yang difahami di seluruh negara, dan yang mencerminkan identiti budaya dan pandangan hidup, penting dalam memupuk perpaduan sebenar.”

Free Malaysia Today

Comments