Home Antarabangsa TH pelbagai perkhidmatan kepada jemaah haji

TH pelbagai perkhidmatan kepada jemaah haji

SHARE

MADINAH – Tabung Haji (TH) menyediakan pelbagai perkhidmatan di Tanah Suci, termasuk khidmat kaunseling dan nasihat, bagi memastikan keselesaan jemaah haji Malaysia untuk menunaikan Rukun Islam Kelima itu.

Pengurus Pusat Perkhidmatan Zon 2 Madinah 1438 Hijrah, Abdul Rahman Yusof berkata selain itu, dua pembimbing haji melibatkan masing-masing seorang ustaz dan ustazah turut disediakan bagi membantu jemaah yang mempunyai sebarang permasalahan berkaitan ibadah haji dan umrah.

”Kita turut menyediakan kaunter pengeluaran wang, klinik, perkhidmatan i-Talk dikendalikan Telekom serta perkhidmatan penghantaran barangan ke tanah air diuruskan Pos Malaysia dan tiga vendor lain,” katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, perkhidmatan berkenaan disediakan di setiap tiga zon di Madinah.

TH menyediakan 11 hotel penginapan kepada jemaah haji Malaysia di Madinah, melibatkan dua hotel di Zon 1, empat buah (Zon 2) dan lima hotel di Zon 3.​​​​​​​

​​​​​​​Kumpulan pertama daripada 30,200 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan ibadah haji bagi musim 1438 Hijrah akan tiba di Madinah pada Isnin.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata dengan kedudukan hotel penginapan jemaah haji Malaysia berdekatan dengan Masjid Nabawi di sini, mereka seharusnya mengambil peluang sebaik mungkin untuk menunaikan solat fardu lima waktu dan solat sunat di masjid berkenaan.

“Sesuatu yang merugikan jika jemaah tidak menunaikan solat lima waktu di Masjid Nabawi…tiada alasan (untuk tidak menunaikan solat) kerana kedudukan hotel mereka ke Masjid Nabawi sangat dekat. Ganjaran pahala solat di Masjid Nabawi adalah besar,” katanya.

Jarak hotel penginapan jemaah haji Malaysia di Zon 2 sekitar 50 hingga 100 meter. Hotel penginapan paling jauh bagi jemaah haji Malaysia di Madinah adalah 300 meter  dari masjid kedua penting itu selepas Masjidilharam di Makkah.

Ganjaran pahala bagi mereka yang mengerjakan solat di Masjid Nabawi adalah 1,000 kali ganda berbanding solat di masjid lain di dunia.

Abdul Rahman berkata TH juga mengadakan program ziarah bagi jemaah haji termasuk menziarah makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi serta tempat-tempat penting dalam sejarah Islam seperti melawat Masjid Quba, Masjid Qiblatain dan Bukit Uhud. – Bernama

Sinar Online

Comments