Home Pendapat Tertutupnya Pemikiran IRF Dan Dr Farouk Musa Dengan Berterusan Mengkambinghitamkan Akidah Asha’irah...

Tertutupnya Pemikiran IRF Dan Dr Farouk Musa Dengan Berterusan Mengkambinghitamkan Akidah Asha’irah Sebagai Punca Kemunduran Umat Islam

SHARE

Dalam usaha mereka untuk menghidupkan kembali akidah dan pemikiran Muktazilah, Dr Farouk Musa dan IRF terus melemparkan fitnah kepada akidah dan pemikiran Asha’irah sebagai penyebab kelemahan berfikir umat Islam. Jika sebelum ini Dr Farouk dan IRF menterjemahkan buku “The Closing of Muslim Mind” karangan bekas pegawai keselamatan tentera Amerika Syarikat, kini Dr Farouk sendiri menulis tentang “Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin”. Sepertimana Robert R. Reilly memuntahkan semula apa yang dituduh oleh para Orientalis tentang akidah dan pemikiran Asha’irah dalam karya-karya mereka, Dr Farouk juga seperti burung kakak tua mengulang-ulang ayat-ayat Robert R. Reilly dan para Orientalis.

Dengan bersandarkan kepada tokoh reformis modenis Islam akhir abad ke 19, Jamal al-Din Afghani dan Muhammad Abduh, Dr Farouk menganggap akidah dan pemikiran Asha’irah sebagai akidah dan pemikiran kaum Muslimin yang ortodoks serta terikat dengan faham teologi (yang beliau sebut Kalam!) tradisional yang bertaqlid. Melalui Jamal al-Din Afghani dan Muhammad Abduh, Dr Farouk meminta kaum Muslimin supaya membuang pemahaman agama yang usang ini dan tidak lagi terikat kepada mana-mana pendapat atau kerangka mazhab tertentu. Hanya dengan menjauhkan diri dari akidah dan pemikiran Asha’irah dan mengangkat akidah dan pemikiran Muktazilah, Dr Farouk percaya kaum Muslimin akan mencapai kegemilangan sains, teknologi dan rasionaliti.

Dalam tulisan bertarikh 19 September 2017 tersebut terdapat 11 tempat Dr Farouk menyebut secara langsung bahawa (1) “Permusuhan terhadap falsafah dan tanggapan rasional yang menyebabkan kebekuan pemikiran umat bermula sejak berkurun dengan tewasnya Kaum Muktazilah kepada Kaum Asya’irah”. (2) “Ini sudah semestinya berbeza dengan Kalam Asha’irah yang menganggap al-Qur’an itu qadim adanya, coeval, atau setara dan kebersamaan dengan kewujudan Tuhan. (3) “Para pengkaji tamadun manusia telah melihat bagaimana kebangkitan puak anti-rasionalisme daripada mazhab Asha’irah ini berkait rapat dengan penyusutan sains di dunia Islam”.

(4)”Dengan bangkitnya kaum Asha’irah, pembelajaran dan pemahaman di dunia Islam mulai menunjukkan pertentangan dengan sebarang kaedah pemikiran saintifik yang bagi mereka, tidak membawa sebarang kebaikan dalam menjalankan tugas keagamaaan dalam ruang peribadi maupun awam”. (5) “Kita melihat, umat Islam masa kini lebih banyak meyakini perkara yang ajaib dan luar biasa walaupun bercanggah dengan prinsip-prinsip sains tabii kerana teologi Asha’irah mengajar bahawa Allah Maha Berkuasa menentukan segala sesuatu walaupun ia bertentangan dengan aqal dan hukum alam”. (6) “Menurut mereka, faham Asha’irah mengajar bahawa kesemuanya mungkin, kerana Zat Tuhan Maha Berkuasa melakukan segala sesuatu itu”.

(7)”Dan inilah manhaj Abduh dalam menghimbau bangsa Arab dan umat Islam untuk keluar daripada rongrongan dan keteledoran fikiran kerana percaya hal-hal yang sakti lagi ajaib, hanya kerana mereka meyakini dan beriman dengan kalam Asha’irah, yang Allah berkuasa melakukan sesuatu yang berlawanan dengan hukum alam yang, anehnya; Tuhan itulah yang telah menetapkan sendiri”. (8)”…dengan mempercayai perkara ajaib seperti pembedahan batin dan seumpamanya itu adalah benar kerana disangka itulah perubatan Islam. Inilah akibat fahaman Asha’irah yang percaya segala perkara yang ajaib boleh berlaku kerana Tuhan Maha Berkuasa dan tidak terikat dengan hukum yang Dia ciptakan sendiri”.

(9)”Paradigma pesimisme dan fatalisme yang menganggap ketentuan nasib ditentukan Tuhan bersandarkan qada dan qadar sebagaimana yang difahami Asha’irah inilah yang seringkali digunakan untuk menjustifikasikan kemalasan dalam berjuang dan mengikhtiarkan perubahan”. (10)”Mereka mempunyai kepercayaan yang salah, yang secara langsung atau tidak yang diakibatkan daripada kalam Asha’irah, bahawa setiap urusan di dunia ini telahpun ditentukan untuk mereka.

Akhir sekali dalam menggesa umat Islam merubah pemikiran dan mempersoalkan teologi atau akidah yang mereka pegang selama ini, Dr Farouk mengatakan (11)”Dan bagaimana kemenangan Kaum Asha’irah itu telah menjadi malapetaka dan krisis pemikiran yang maha dahsyat bagi umat Islam selama berkurun-kurun lamanya”. Dengan segala fitnah-fitnah yang beliau tujukan kepada aqidah dan pemikiran Asha’irah, Dr Farouk dan IRF sangat meyakini kegemilangan umat Islam hanya boleh dicapai melalui akidah dan pemikiran Muktazilah.

Oleh kerana fitnah Dr Farouk terlalu banyak, sudah tentu ia memerlukan tulisan yang lebih panjang dalam ruangan yang lebih sesuai untuk dihuraikan untuk menunjukkan Dr Farouk jelas tersasar pada menyatakan akidah dan pemikiran Asha’irah sedemikian rupa sama seperti yang disebut oleh Robert R. Reilly dan para Orientalis juga tidak ketinggalan para reformis modenis Muslim. Dalam kesempatan ini mungkin sekadar dikemukakan betapa tanggapan fitnah Dr Farouk dan IRF bahawa akidah dan pemikiran Asha’irah anti-akal atau anti-rasionalisme boleh menjadi titik-tolak penjelasan fitnah dan tohmahan yang lain yang bermula dengan salah-tanggapan Asha’irah anti-akal dan anti-rasionaliti itu sendiri.

Jelas Dr Farouk tidak dapat membezakan golongan Asha’irah yang secara sistematik dan analitik menggabungkan pengunaan akal dan rasionaliti dengan wahyu dalam memahami al-Qur’an dan Islam dengan golongan Hanabilah dan Ahli Hadith yang sebenarnya menentang penggunaan akal dan rasionaliti dalam memahami agama. Pertembungan akidah dan pemikiran dalam sejarah umat Islam tidak boleh disimpulkan sebagai pertentangan dua penjuru antara Muktazilah dan Asha’irah seperti yang dilakukan oleh Dr Farouk. Terdapat pelbagai mazhab akidah dan pemikiran yang turut terlibat dalam pertentangan akidah dan pemikiran seperti Falasifah, Qadariyyah, Jabariyyah, Hanabilah, Mujassimah, Shi’ah, Batiniyyah, Khawarij, Zahiri, Muhadith dan tidak ketinggalan sebahagian dari Fukaha.

Justeru Dr Farouk sewajarnya membuat pemetaan yang betul terlebih dahulu tentang sikap dan pegangan kelompok-kelompok pelbagai ini terhadap peranan dan kedudukan akal dan rasionaliti dalam memahami al-Qur’an dan Islam dan membandingkan mereka dengan sikap dan pegangan golongan Asha’irah. Dari pemetaan ini, Dr Farouk akan mendapati sebenarnya Asha’irahlah yang paling konsisten dan komited pada menggabungjalinkan kefahaman mengenai al-Qur’an dan Islam dengan akal dan rasionaliti. Malah kegagalan utama Muktazilah yang dikatakan oleh Dr Farouk sebagai tewasnya Muktazilah kepada Asha’irah sebenarnya disebabkan kegagalan Muktazilah untuk menggabungjalinkan ruh atau semangat Ilahi al-Qur’an dan Islam dengan akal dan rasonaliti manusiawi yang menyebabkan mereka gagal mengimbangi peranan dan kedudukan akal dan rasionaliti dalam memahami agama.

Kesilapan paling ketara Dr Farouk ialah menyamakan akidah dan pemikiran Asha’irah dengan akidah dan pemikiran Hanabilah dan Ahli Hadith yang dikembangkan oleh para pengikut Imam Ahmad Ibn Hanbal dan kemudiaannya disempitkan oleh Ibnu Taymiyyah yang kemudiannya disempitkan lagi oleh Muhammad Ibn Abdul Wahhab, pengasas Wahhabiyyah yang hari ini menamakan diri mereka sebagai golongan Salafiyyah. Ironisnya ramai dikalangan pendokong Dr Farouk dan IRF terdiri dari golongan Salafiyyah yang dari sejarahnya memang menentang Muktazilah dan menentang penggunaan akal dan rasionaliti dalam memahami agama!

Dr Amran Muhammad Ketua Eksekutif Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)

NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam (NARATIF NUSANTARA SIRI 24)

*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat dan pandangan Menara.my.

Comments