Home Tempatan Terap ajaran ahli Sunnah: Sultan Selangor

Terap ajaran ahli Sunnah: Sultan Selangor

SHARE

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan guru Kelas al-Quran dan Fardu ain (KAFA), menekankan pembelajaran berdasarkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada anak didik mereka.

Baginda bertitah, guru KAFA adalah pendidik yang penting dalam masyarakat Islam sekali gus mereka perlu mendidik kanak-kanak mempunyai sifat menghormati ibu bapa, guru dan pemimpin, serta mempunyai toleransi antara satu sama lain selain mengeratkan hubungan silaturahim.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak berkenan melihat masyarakat Melayu Islam berpecah belah hingga merosakkan mereka serta ketinggalan di dunia ini.

“Mereka (kanak-kanak) juga hendaklah difahamkan mengenai (sikap) menghormati agama dan bangsa yang bukan Islam, di mana negara kita ini hidup dalam keadaan rakyat berbilang kaum.

“Jika dari sekolah rendah mereka sudah dididik dengan perkara ini, Beta yakin negara akan mempunyai rakyat yang tahu hidup bertoleransi dan negara akan menjadi aman dan harmoni ,” titah baginda di Program Multaqa Pegawai Masjid dan Surau, Guru KAFA dan Guru Takmir Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid serta surau supaya menjalankan tugas dengan jujur, telus dan amanah selain tidak berpuak-puak hingga masjid menjadi tempat menumbangkan antara satu sama lain.

“Pegawai masjid hendaklah berwaspada terhadap penceramah yang tidak bertauliah kerana dikhuatiri akan menyelewengkan perkara yang disampaikan kepada jemaah terutama ajaran sesat.

“Beta mahu masjid bukan hanya dikunjungi warga emas tetapi turut menarik generasi muda untuk menyertai program kebajikan dan beramal ibadat,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Selangor turut berkenan menghargai bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap kerajaan Selangor dengan membayar elaun imam serta memberi sumbangan khas kepada siak dan bilal.

“Beta juga berterima kasih atas sumbangan bayaran untuk guru KAFA, guru Takmir dan Penyelaras Takmir Masjid,” titah baginda.

Berita Harian

Comments