Home Tempatan Tempat Orang Islam Sebenar Tiada Huru-Hara Kaum

Tempat Orang Islam Sebenar Tiada Huru-Hara Kaum

SHARE

Petaling Jaya, Selangor: Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, seseorang yang mengamalkan Islam secara “sungguh-sungguh” tidak akan ada masalah hidup bermasyarakat dengan penganut agama lain dan ia boleh dilihat apabila bukan Islam dari kaum Cina dan India selesa tinggal di kampung Melayu, demikian seperti dipetik daripada Free Malaysia Today.

Sebagai contoh, rusuhan kaum yang berlaku hampir 50 tahun lalu di Lembah Klang dan beberapa negeri lain tidak merebak ke negeri Pantai Timur.

“Ketika berlakunya huru-hara kaum 13 Mei, Terengganu tak ada 13 Mei, Kelantan tak ada 13 Mei, Kedah tak ada 13 Mei. Huru-hara berlaku di Pulau Pinang, berlaku di Singapura, bergaduh kaum.”

“Tempat yang orang Islam sungguh-sungguh pegang dengan Islam tak ada gaduh dan tak ada huru-hara.”

Tambah beliau lagi, hubungan tolong-menolong perlu ada antara satu sama lain kerana semua manusia berasal daripada Adam dan Hawa.

“Walaupun kita berbeza agama, berbeza bangsa, manusia semua adalah satu keluarga. Manusia asal daripada Adam dan Hawa, ayah dan ibu yang satu. Kemudian jadi macam-macam bangsa, dan manusia tak boleh hidup bangsa masing-masing, puak masing-masing, mesti ada hubungan tolong menolong di antara satu sama lain.”

Dalam ucapannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Dato’ Seri Abdul Hadi juga mengajak masyarakat Cina menyokong PAS dalam cita-cita parti Islam itu memerintah di peringkat pusat.

Menurutnya, PAS terbukti membela keadilan semua kaum ketika memerintah Terengganu selama satu penggal selepas merampas negeri itu daripada Barisan Nasional pada 1999.

Hadi, yang menjadi Menteri Besar Terengganu selama 5 tahun itu, berkata langkah pentadbirannya menghapuskan cukai pintu untuk rumah kediaman di kawasan bandar yang diduduki masyarakat Cina.

“Walaupun kita tahu penduduk kawasan bandar banyak orang Cina, mereka lebih banyak merasai bagaimana kita hapuskan cukai pintu rumah kediaman.”

“Dan kita bantu sekolah-sekolah rakyat termasuk sekolah Cina, sekolah Tamil, kita tolong, ini kerana hak pelajaran, hak pendidikan adalah hak semua manusia menggunakan bahasa dia.”

Comments