Home Menara English Letters Tempat duduk bas, dan feminis tegar yang celaru

Tempat duduk bas, dan feminis tegar yang celaru

Bukankah polisi mengasingkan tempat duduk wanita dan lelaki mengangkat hak wanita, menjaga dan melindungi mereka, seperti apa yang kakak dan makcik feminis mahukan?

SHARE

(Free Malaysia Today) Kecelaruan neraca pemikiran puak feminis semakin lama semakin menonjol. Mana tidaknya, aurat yang merupakan hukum dalam Islam dikatakan satu bentuk budaya, Al-Quran pula ditafsir sesedap rasa.

Terkini, peguam Siti Kasim menyelar syarikat bas TransMalaya kerana mengasingkan tempat duduk lelaki dan perempuan.

Mengenangkan kenyataan beliau. Saya bingung.

Saya kira polisi syarikat itu memperkasakan hak wanita untuk dihormati dan melindungi diri mereka daripada apa jua bentuk gangguan seksual. Hal ini adalah kerana terlalu banyak aduan dan kisah ngeri wanita dicabul kehormatannya ketika menggunakan pengangkutan awam.

Saya juga hampir menjadi mangsa suatu ketika dahulu. Pada kaca mata saya ia merupakan satu rahmat bagi para wanita yang ingin berkelana dari satu tempat ke satu tempat menggunakan pengangkutan bas ini.

Tindakan Siti Kasim menyelar syarikat bas tersebut ternyata suatu kejutan untuk saya. Beliau yang merupakan seorang feminis tegar mengatakan ia satu bentuk “moral policing” dan tidak patut dilaksanakan?

Eh? Bukankah polisi itu mengangkat hak wanita, menjaga dan melindungi wanita seperti apa yang kakak dan makcik feminis mahukan? Kenapa tiba-tiba nak melenting sampai nak boikot syarikat bas?

Bukankah isu gangguan seksual merupakan salah satu perjuangan puak ini?

Kenapa Siti Kasim tak bising pula bila India wujudkan Bas Wanita Pertama di negara tersebut bagi membendung kejadian “gang rape” yang berleluasa di negara itu?

Kenapa Siti Kasim tak mengamuk juga bila diperkenalkan gerabak wanita dalam sistem kereta api di Jepun? Mengapa tidak Siti Kasim membebel bila KTM melancarkan koc wanita?

Hakikatnya, negara seperti Jepun dan India juga menghormati hak wanita, mahu memperkasakan wanita dan melindungi mereka. Kenapa apabila syarikat bas ini membuka ruang dan langkah, memberi pilihan untuk wanita melindungi diri mereka, mulalah nak bising?

Golongan feminis tegar memperjuangkan hak wanita untuk memilih dan diberikan peluang untuk memilih. Namun, apabila wanita memilih untuk menyokong polisi sebegini, mengapa wanita ini riuh sekampung meroyan?

Melihatkan falasi kenyataan Siti, jelas di sini, golongan feminis sebenarnya tiada neraca untuk menentukan suatu yang hak dan batil. Semuanya ditentukan menurut acuan nafsu dan akal, sehingga memalingkan hukum Tuhan. Mereka juga tiada buku panduan untuk memandu ideologi mereka.

Cognitive Dissonance, situasi apabila kata-kata atau pegangan seseorang bercanggah dengan tingkah lakunya, jelas sungguh pada kenyataannya, jadi soalan saya pada Siti Kasim, adakah anda mahu memperkasakan hak wanita dan melindungi mereka dari gangguan seksual atau terus menjatuhkan maruah wanita melalui apa sahaja yang bertentangan dengan ideologi feminisme dan liberalisme yang anda imani?

Dalam Islam, neraca kita adalah Al-Quran dan Sunnah. Kita diberi panduan dari segenap aspek kehidupan. Sebab itulah umat Islam tegas prinsipnya, bukan ibarat lalang seperti feminis Siti Kasim.

Semoga apa yang diusahakan oleh syarikat TransMalaya menjadi contoh ikutan syarikat pengangkutan bas lain dengan tujuan, untuk melindungi dan memperkasakan wanita dari sebarang bentuk gangguan seksual.

Saya juga menyeru supaya pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meneliti isu keselamatan kaum wanita dan menjadikan ianya sebahagian dari dasar penambahbaikan sistem pengangkutan awam di negara kita.

Islam hadir mengeluarkan umat dari terus memandang wanita sebagai objek, lantas memartabatkan hak dan kedudukan wanita. Maka tidak salah saya kira usaha ini wajar diteruskan bagi membendung kejadian ini terus berlaku.

Amalina Anuar

Free Malaysia Today

Comments