Home Kolumnis Tembok Berlin Dihancurkan

Tembok Berlin Dihancurkan

SHARE

I follow the Moskva, down to Gorky Park, listening to the wind of change, an August summer night, soldiers passing by, listening to the wind of change”. Begitulah permulaan lirik kepada lagu Wind of Change dendangan kugiran rock terkenal Scorpions. Kugiran berasal dari Jerman ini telah mengabadikan peristiwa hancurnya Tembok Berlin yang membahagi negara Jerman kepada dua bahagian iaitu Barat dan Timur dalam sebuah lagu mereka yang bertajuk “Wind of Change”.

Tembok Berlin yang dalam Bahasa Jerman disebut sebagai Die Berliner Mauer merupakan sebuah tembok di tengah-tengah bandar Berlin. Ia didirikan pada 13 Ogos 1961 selepas tamatnya Perang Dunia Kedua dan secara efektifnya membahagikan bandar Berlin kepada Barat dan Timur. Tembok tersebut yang mendapat jolokan ‘tirai besi’ dan terkenal sebagai simbol kepada Perang Dingin menjadi garisan sempadan antara Jerman Barat dan Jerman Timur selama 28 tahun sehingga ia dihancurkan pada 9 November 1989.

Setelah 11 tahun Jerman Timur ditubuhkan bermula pada tahun 1949 oleh pemimpinnya ketika itu yang bernama Walter Ulbricht, Tembok Berlin pun didirikan bagi menghalang penghijrahan besar-besaran warga Jerman Timur ke Jerman Barat terutamanya tenaga kerja muda dan produktif yang mahukan kehidupan bebas daripada belenggu Kesatuan Soviet yang membentuk Republik Demokratik Jerman (Jerman Timur) dan mengamalkan sistem komunis/sosialis. Mereka mencari kehidupan yang lebih baik di Jerman Barat yang dibangunkan ke dalam negara-negara kapitalis Barat yang berasaskan ekonomi pasaran bebas.

Sekitar 2 juta orang dicatat bagi merekod jumlah warga Jerman Timur yang berhijrah ke Jerman Barat sebelum terbinanya Tembok Berlin. Setelah terbinanya tembok tersebut, dianggarkan sekitar 5000 orang lagi telah cuba melepasinya. Pada akhir pembinaannya, tembok tersebut adalah sepanjang 155 kilometer dan setinggi 4 meter serta dilengkapi 300 menara pengawas. Sepanjang terdirinya tembok tersebut, dianggarkan sejumlah 136 ke 200 orang ditembak mati oleh pengawal menara ketika percubaan melepasinya. Malah terdapat pelbagai persitiwa yang dirakamkan sejarah sepanjang percubaan melintasi tembok tersebut. Antara peristiwa yang terkenal ialah percubaan beberapa keluarga Jerman Timur melintas menggunakan belon panas (mereka berjaya).

Pada pertengahan tahun 1989, kekuasaan Soviet semakin melemah. Hasilnya, cengkaman kuasa komunis/sosialis ke atas negara-negara seperti Jerman Timur semakin berkurangan. Bermula di Hungary, akhirnya demonstrasi awam merebak hingga ke Jerman Timur dan akhirnya membawa kepada kehancuran total ‘tirai besi’ yang memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur pada 9 November 1989. Pada 13 Januari 1990, tembok tersebut hancur sepenuhnya. Jerman Barat dan Jerman Timur bersatu semula sebagai Republik Persekutuan Jerman atau Bundesrepublik Deutschland.

Setiap tahun pada tarikh 9 November, rakyat Jerman dan dunia akan memperingati tarikh tersebut sebagai hari hancurnya tembok yang membahagikan sebuah negara kepada dua bahagian dan akhirnya mencapai kebebasan serta bersatu semula dalam satu angin perubahan yang baru. Rangkap terakhir dalam lagu “Wind of Change” dendangan kugiran Scorpions merekodkan dengan baik kebebasan, perubahan dan impian baru tersebut; “Take me to the magic of the moment, on a glory night, where the children of tomorrow share their dreams, with you and me, take me to the magic of the moment, on a glory night, where the children of tomorrow dream away, in the wind of change”. Perang Dingin telah lama berakhir, namun apakah kebebasan benar-benar telah dicapai sepertimana yang diimpikan?

Comments