Home Tempatan Tawfik Ismail Keliru Dengan Fungsi JAKIM

Tawfik Ismail Keliru Dengan Fungsi JAKIM

SHARE

Kuala Lumpur: Pandangan yang mengatakan JAKIM mendakwa dan menghukum orang ramai sesuka hati adalah satu kekeliruan kerana undang-undang telah mengkhaskan kuasa mendakwa dibawah kuasa Pendakwa Syarie dan sememangnya JAKIM tidak campur tangan, demikian pandangan yang dikongsikan Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar.

Menyentuh isu hendak memansuhkan JAKIM, IKSIM dan sebagainya, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu berkata, ianya bertujuan untuk menyetarakan agama Islam dengan agama lain dan ini tidak dibenarkan oleh Perlembagaan.

“Kalau kita lihat dalam Jadual 9 Senarai Satu Butiran 4(K) Perlembagaan Persekutuan mengatakan isu-isu penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang Persekutuan adalah kuasa Persekutuan bukan negeri.”

Menurutnya, ramai yang keliru menyatakan Islam adalah seratus peratus hak Negeri dan sebenarnya ia tidak begitu dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Memang Islam pada umumnya adalah hak Negeri yang mana kuasa ketua agama untuk negeri-negeri adalah Sultan dan itu tidak dipertikaikan tetapi ada juga kuasa-kuasa yang diuntukkan kepada Persekutuan.”

Beliau berkata, Jadual 9 Senarai 1 Item 4(k) yang mengatakan bahawa penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud Undang-undang Persekutuan ini kuasa Persekutuan.

“Jadi apa maksud undang-undang diri lain bagi maksud Undang-Undang Persekutuan ini, sebagai contoh Undang-Undang Persekutuan kita terdapat perbankan Islam atau Tabung Haji atau hubungan diplomatik luar negara.”

Menurut beliau, umpamanya dalam Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari, ada perubatan Islam di dalam perkara itu dan undang-undang Persekutuan tersebut memerlukan penentuan hukum syarak dan ia dilakukan oleh JAKIM.

“JAKIM perlu menentukan sama ada satu perubatan Islam itu adalah perubatan Islam ataupun syirik ataupun sebagainya.”

“Jadi mestilah ada suatu Badan Persekutuan yang diwujudkan bagi menentukan hukum syarak dan badan itu adalah JAKIM,” katanya.

Menurut beliau lagi, “Tak bolehlah Kementerian Kesihatan pergi bertanya kepada negeri-negeri, maka JAKIM-lah yang perlu dirujuk di Peringkat Persekutuan.”

“Begitu juga dengan isu Tabung Haji, Akta Tabung Haji, macam mana kita nak aspek kalau kita bagi semua kepada negeri-negeri.

Negeri-negeri terpaksa berunding dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatan kuota dan tempat untuk Jemaah Haji, itu tidak boleh.”

“Sebab hubungan antarabangsa adalah hubungan antara negara bukan negeri dengan negara.”

“Jadi JAKIM-lah yang mempunyai kuasa untuk berunding dengan kerajaan Arab Saudi menentukan bagaimana kuota, penerbangan, penginapan dan sebagainya untuk Jemaah Haji yang diletakkan tugas atas Lembaga Tabung Haji.”

“Begitu juga dalam Akta Perbankan Islam yang mana Bank Negara adalah menentukan satu produk itu menurut hukum syarak ataupun tidak, yang menentukan halal haram ataupun tidak adalah daripada JAKIM di peringkat perbankan Islam mengikut syarak ataupun tidak.”

“Takkan pula Bank Negara nak berunding dengan 14 buah negeri, bayangkan satu negeri bersetuju dan satu negeri tidak bersetuju ia akan menyukarkan perlaksanaannya.”

Jelas beliau, sebab itu dikatakan JAKIM sebenarnya sangat-sangat berperlembagaan di bawah Item 4(K).

“Jadi siapa pun yang memerintah, Perlembagaan Islam itu tidak boleh diubah.”

“Kalau ia menjunjung Kedaulatan Undang-Undang dan Keluhuran Perlembagaan maka perlulah memberikan efek kepada peruntukkan-peruntukkan ini bukan hanya membiarkan sebagai dekorasi sebegitu sahaja.”

“Suka saya menyangkal, dakwaan Tawfik Ismail yang berkata, JAKIM mendakwa orang ramai dan meletakkan berbagai lagi kesalahan.”

“Sebenarnya itu bukan fungsi JAKIM sebaliknya, itu fungsi Jabatan Pendakwaan atau Jabatan Agama Islam, jelas dia sendiri keliru yang mana satu JAKIM yang mana satu jabatan agama dan yang mana satu Jabatan Pendakwaan dan Mahkamah Syariah dan sebagainya.”

Menurut Dato` Zainul Rijal, pihak berkenaan sembrono menuduh secara pukal terhadap JAKIM sedangkan dalam undang-undang telah mengkhaskan kuasa mendakwa dibawah kuasa pendakwa Syarie, malah JAKIM tidak campur tangan pun.”

“Semua itu sudah disebut di bawah Akta Pentadbiran tetapi bekas Ahli Parlimen ini barangkali tidak membaca undang-undang yang dibuat dulu,” katanya.

Dato’ Zainul Rijal bersetuju JAKIM dan institusi Islam Persekutuan lain diletak terus di bawah Majlis Raja-Raja. Peletakan ini adalah dalam aspek kebertanggungjawaban, kebebasan dan pelaksanaan tugas supaya pihak eksekutif tidak mencampuri urusan Islam. Namun, pihak Kerajaan masih perlu memberi dana dan latihan kepada institusi ini kerana Kerajaan diberi mandat melaksanakan tugas Yang di-Pertuan Agong melalui Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan. Ketua  Eksekutif sebenar bagi Persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong.

Comments