Home Tempatan Tawan Melaka, Sebelah Kaki Sudah Pijak Baitulmuqaddis

Tawan Melaka, Sebelah Kaki Sudah Pijak Baitulmuqaddis

SHARE

Tanjung Malim, Perak: “Setelah Portugis menawan Melaka, mereka mengisytiharkan sebelah kaki mereka sudah berada di Baitulmuqaddis,” demikian kenyataan yang dibuat oleh Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Shafai Musa ketika berucap di Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam 2018 (DIPKI) 2018 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, pengakhiran kerajaan Islam di Andalusia pada tahun 1492 bermula dengan satu perpecahan kecil yang dimulakan oleh Alfonso di Toledo.

7 Tuntutan Kedaulatan Islam

“Mari kita lihat kepada Andalus sebagai satu contoh, hanya kerana satu perpecahan yang kecil di mana Alfonso dapat menawan Toledo, kemudian 400 tahun setelah itu Islam tumpas di bumi Andalus.”

29 tahun setelah tumpasnya kerajaan Islam di Sepanyol, Alfonso de Albuquerque tiba di Nusantara dengan matlamat untuk memusnahkan agama Islam di rantau ini buat selama-lamanya.

“Tumbangnya Andalus 1492, 29 tahun lepas itu Alfonso yang lain datang ke alam Melayu, mereka isytiharkan pada ketika itu, ‘Kita mesti padam benteng api umat Muhammad di alam Melayu sehingga terpadam dan tidak menyala lagi buat selama-lamanya’.”

Tidak cukup dengan menakluki bumi Andalus, masjid yang gah di bumi Andalus diubah menjadi gereja.

Justeru, beliau menasihati para hadirin supaya menegakkan agama Islam dan mempertahankan kedaulatan Islam kerana itu adalah kerja para Nabi-Nabi.

“Hendaklah kamu tegakkan agama, daulatkan agama, bahawa itulah kerja-kerja sebenar Allah S.W.T. telah berikan kepada Rasul-Rasul terdahulu.”

Dalam pada itu beliau juga menyatakan bahawa kedudukan Islam di dalam negara ini telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Agama ini telah ditegakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan secara tertulis.”

Sambil mengingatkan hadirin dengan kisah Turki Uthmaniah, beliau turut menegaskan bahawa perpecahan umat yang sedang berlaku di Malaysia telah mengakibatkan kata-kata seperti yang diungkapkan oleh Alfonso de Albuquerque didengar kembali.

“Pada hari ini dengan kemelut perpecahan ummah, bahasa yang sama yang digunakan oleh tentera-tentera salib pada ketika itu, boleh didengar kembali. Kali ini mereka datang lagi dengan orang seperti Afeef Halasah dengan kata-kata yang tidak patut didengari di negara ini seperti ‘rampas tanah air ini’ iaitu dengan menghapuskan Islam daripada tanah air ini.”

Comments