Home Tempatan Tarik semula kelonggaran syarat Bahasa Melayu keputusan tepat

Tarik semula kelonggaran syarat Bahasa Melayu keputusan tepat

SHARE

KUALA LUMPUR: Keputusan penarikan semula kelonggaran syarat berkaitan Bahasa Melayu untuk sebarang jawatan dalam perkhidmatan awam dilihat sebagai satu keputusan yang tepat dan berani.

Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata beliau menyokong penuh keputusan itu dan menegaskan bahawa tidak sepatutnya ada kompromi dalam syarat berkaitan Bahasa Melayu.

“Saya menyokong penuh keputusan tersebut dan berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Kabinet atas keprihatinan dan ketegasan mereka.

“Amat penting untuk anak-anak muda kita kenal dan fasih Bahasa Melayu kerana ia menunjukkan rasa cinta dan hormat mereka kepada negara dan juga Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau turut menegaskan sekiranya ada perubahan yang ingin dilakukan terutamanya perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara, ia mestilah dibentangkan dahulu kepada Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri pada Rabu mengumumkan Kabinet memutuskan untuk menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Menurut Ahmad Zahid Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan merupakan bahasa rasmi Persekutuan, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Menyuarakan pendapat yang sama, Felo Utama Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata keputusan itu bertepatan dengan usaha dan dasar kerajaan yang mendukung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, adalah menjadi keutamaan bagi setiap warganegara Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan perkara itu perlu sentiasa dihormati.

“Saya sokong keputusan yang menetapkan syarat lulus Bahasa Melayu dalam semua jawatan. Jika mereka tidak mengambil kertas Bahasa Melayu Sijil Pelaran Malaysia (SPM), mereka perlu menduduki mana-mana peperiksaan Bahasa Melayu yang setaraf dengan SPM,” jelasnya.

Sementara itu Timbalan Presiden Pertubuhan Cendekiawan dan Profesional Malaysia (CenPro) Razak Rashid Ghows dalam kenyataannya berkata, satu sistem pengauditan hendaklah dilakukan bagi memastikan pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai syarat pengambilan jawatan meliputi semua jawatan pada semua peringkat dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau turut menyeru Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengambil tindakan tegas dan proaktif bagi memastikan penggunaan Bahasa Melayu yang betul dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan di semua sektor.

“Kami juga menyambut baik keputusan yang memberi peluang kedua kepada Pegawai Perubatan Kontrak untuk mengambil peperiksaan Bahasa Melayu secara tunggal seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Razak dalam kenyataan yang sama turut mencadangkan agar syarat kelulusan Bahasa Melayu pada masa hadapan ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya kelulusan di peringkat kepujian atau kredit bagi memastikan kemampuan pegawai perubatan menguasai Bahasa Melayu lisan dan penulisan dengan baik.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan sebelum ini berkata JPA pada 23 Feb telah memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat itu untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di KKM.

Menurut beliau langkah tersebut dilakukan bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan SPM atas pelbagai sebab.

Comments