Home Antarabangsa Tangkap muslim Uighur atas permintaan China satu pengkhianatan kepada seluruh umat Islam

Tangkap muslim Uighur atas permintaan China satu pengkhianatan kepada seluruh umat Islam

SHARE

BANGI, 13 Syawal 1438H, Jumaat – Tindakan pihak berkuasa Mesir menangkap pelajar Islam Uighur atas desakan kerajaan China boleh dianggap satu pengkhianatan kepada umat Islam seluruh dunia.

Kesal dengan insiden itu, Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim berkata, pelajar Islam Uighur hanya mencari ilmu di Universiti Al-Azhar, bumi Mesir.

“Mengikut telunjuk China dengan menangkap pelajar-pelajar itu adalah satu pengkhianatan, apatah lagi Al-Azhar dihidupkan atas dana waqaf seluruh dunia.

“Dengan ini kita menyeru Syeikh Al-Azhar, ulama Al-Azhar, alumni Al-Azhar seluruh dunia bangkit bersuara dan menggesa kerajaan Mesir menghentikan penangkapan dan operasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.

Sejak Rabu lalu, komuniti muslim Uighur di Kaherah panik apabila pihak berkuasa Mesir melakukan tangkapan besar-besaran terhadap pelajar dalam serbuan di rumah, sekolah, universiti dan masjid.

Serbuan dan tangkapan itu dilakukan selepas pihak berkuasa China mengarahkan semua pelajar etnik Uyghur yang berada di luar negara pulang ke negara Tembok Besar sebelum 20 Mei lalu, sebagai sebahagian daripada tindakan kerajaan untuk menyekat aktiviti politik.

Wakil Kerajaan China juga dilaporkan berada di kawasan komuniti Uighur di Kaherah, mengarahkan pelajar yang ada di masjid dan sekolah supaya pulang ke China.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamri berkata, Kerajaan China sepatutnya belajar dari negara-negara lain yang rakyat minoriti muslim menjadi warga negara yang baik kepada negaranya sendiri.

“Ia berlaku apabila negara berkenaan memberikan hak yang sewajarnya kepada warganegara minoriti muslimnya. Mereka mendapat hak sebagai rakyat dan manusia.

“Sebaliknya penentangan akan berlaku secara fitrah jika mereka merasa dizalimi dan dihalang mendapat hak yang sewajarnya,” katanya.

Comments