Home Tempatan Tambah buku perubatan bahasa Melayu

Tambah buku perubatan bahasa Melayu

SHARE

KUALA LUMPUR: Penerbit buku tanah air bersedia memperbanyak bahan bacaan berbahasa Melayu khususnya dalam bidang perubatan untuk membantu pengamal perubatan mudah memahami istilah dalam bahasa Melayu.

Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Budiman Mohd Zohdi, berkata ia menjadi agenda dalam pembaharuan Dasar Buku Negara yang sedang diusahakan secara kolektif dengan pelbagai pihak terbabit.

Budiman yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, berkata agensi kerajaan sepatutnya menjadi jentera pelaksanaan dasar dan pemerkasaan bahasa Melayu khasnya selepas tahun 1969 yang menyaksikan penggunaan bahasa itu sebagai bahasa pendidikan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar.

“Banyak perkara yang dikhuatirkan akan berlaku sekiranya bahasa kebangsaan tidak diletakkan pada martabat yang sewajarnya.

“Pakar sosiologi, Malik Bennabi dalam The Problem of Ideas in the Muslim World menyatakan bahasa pengantar banyak mengubah nilai jati diri manusia dan mereka yang terdidik melalui bahasa asing realitinya tidak akan mengenali nilai bangsanya sendiri,” katanya.

Budiman berkata demikian sebagai menyokong pandangan banyak pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melonggarkan syarat lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pegawai perubatan kontrak.

Beliau berkata, kerajaan sudah menyediakan pelbagai infrastruktur bagi memperbaiki penguasaan bahasa Melayu, justeru alasan melonggarkan syarat itu bagi membolehkan graduan layak berkhidmat secara kontrak di hospital kerajaan adalah tidak wajar.

Katanya, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar malah pelbagai kejayaan dicapai daripada penggunaannya secara meluas dalam kalangan warga negaranya.

“Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan ini perlu difahami semua pihak.

“Bahasa Melayu jelas dijadikan bahasa rasmi kerana ia memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan termasuklah fungsinya sebagai bahasa lisan pegawai kerajaan semasa mereka melaksanakan tugas rasmi.

“Ia termasuklah skop pegawai perubatan yang menjalankan tugasan merawat pesakit yang terdiri daripada warga negara Malaysia,” katanya.

Berita Harian

Comments