Home Tempatan Tak salah minta upah baca al-Quran

Tak salah minta upah baca al-Quran

SHARE
Surat yang menjadi tular di WhatsApp dan Facebook yang mengundang pelbagai persepsi. Gambar kecil: Mohd Yusof.

SEREMBAN – Tidak menjadi kesalahan jika ada pihak mengenakan bayaran bagi tujuan membaca al-Quran untuk disedekahkan kepada individu yang telah meninggal dunia.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, sebahagian ulama dari Mazhab Shafie menyebut adalah harus mengambil upah membaca al-Quran, sama ada di sisi kubur atau jauh dari kubur dan didoakan supaya pahala bacaan itu disampaikan kepada si mati.

“Bayaran dikenakan itu lebih kepada upah atau imbuhan kepada pembaca al-Quran. Saya tak rasa ada pihak yang menjadikan tujuan itu sebagai perniagaan bagi mengaut keutungan.

“Perkara ini tak sepatutnya dijadikan isu dan ia sudah menjadi perkara biasa dalam budaya masyarakat kita sejak dahulu lagi seperti membuat kenduri tahlil sambil menjamu jemaah. Tapi pastikan upah itu berpatutan, jangan letak harga sampai membebankan orang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan surat yang menjadi tular diaplikasi WhatsApp dan Facebook berhubung pembayaran fidyah bacaan al-Quran untuk individu yang telah meninggal dunia sempena bulan Ramadan ini.

Bagi amalan itu, bayaran fidyah bacaan al-Quran bagi seorang (arwah) untuk sekali khatam al-Quran dikenakan RM15 dan dua kali RM30 serta seterusnya yang diuruskan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas perkara itu, Mohd Yusof berkata, adalah lebih afdal jika ahli keluarga atau waris sendiri yang membacakan al-Quran sambil diniatkan pahalanya kepada arwah.

“Tapi masalahnya ramai yang tak pandai baca al-Quran. Jadi untuk lebih diyakini, boleh minta mereka yang  hafaz al-Quran membacanya dan diniatkan pahala bacaan itu kepada arwah.

“Setahu saya masjid dan surau pun ada buat biasanya bila tiba bulan Ramadan.  Begitu juga kalau kita sedekah tapi diniatkan untuk arwah emak atau ayah. Jadi, jangan salah tafsir mengenainya,” katanya.

Menurutnya, berbeza dengan valet doa di Makkah kerana hak memakbulkan sesuatu doa itu adalah milik Allah dan bukannya terletak kepada manusia.

Sementara itu, Pengerusi Surau An Nasimul Amin, Kuala Pilah Datuk Sheikh Mohamed Sharifuddin Sheikh Mohamed Amin berkata, pembayaran fidyah bacaan al-Quran dibolehkan umpama seperti individu membuat umrah atau haji buat mereka yang meninggal dunia.

Manakala, Pengerusi Surau Kampung Tanah Dasar Seri Menanti, Kuala Pilah, Tukimon Sibon berkata, sudah menjadi kebiasaan setiap kali Ramadan, surau tersebut akan mengadakan majlis tahlih dan membuka ruang kepada yang mahu bersedekah.

“Demi memiliki ganjaran pahala melipat ganda pada bulan Ramadan, perlu perbanyakkan sedekah, bacaan al-Quran dan amalan dituntut oleh Islam.

“Menerusi sedekah, ilmu yang dipelajari dan disebarkan kepada orang lain turut mendapat ganjaran yang baik di sisi ALLAH SWT dan amalan dibawa sehingga meninggal dunia,” katanya.

Sinar Online

 

Comments