Home Tempatan Tak perlu pindaan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk laksana diyah

Tak perlu pindaan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk laksana diyah

SHARE

BANGI, 15 Syaaban 1438H, Jumaat – Langkah Jemaah Pengampunan Pahang yang bercadang mengguna pakai kaedah pengampunan mengikut undang-undang Islam atau diyah, sebagai alternatif terhadap banduan yang berhadapan hukuman mati bagi sabitan membunuh, tidak memerlukan kepada pindaan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ianya cukup sekadar Jemaah Pengampunan Negeri membuat kaedah bagaimana proses pengampunan boleh mengambil tempat.

Katanya, proses pengampunan hendaklah hanya boleh dipertimbangkan apabila keluarga mangsa bersetuju memberi pengampunan dengan bayaran diyah yang ditetapkan atau dipersetujui.

“Dengan cara ini keadilan kepada keluarga mangsa akan lebih terbela,” katanya mengulas kenyataan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bahawa Jemaah Pengampunan negeri itu beradang melaksanakan kaedah berkenaan.

Awal bulan ini, Tengku Abdullah berkata, kaedah berkenaan dapat memberi peluang kepada banduan supaya tidak dikenakan hukuman mati, tetapi sebagai balasan digantikan dengan hukuman lain yang bersesuaian dan mengikut pendapat keluarga mangsa.

“Ini pendekatan yang ada dalam undang-undang Islam dan cadangan ini apabila diputuskan adalah bertepatan dengan syariah Islam. Boleh berbincang semula dengan keluarga mangsa. Perkara ini bergantung juga kepada kes yang dihadapi,” titah baginda.

Zainul Rijal berkata, Islam memberi penyelesaian yang amat bijak dalam kes pembunuhan yang dikategorikan dalam kes qisas.

“Hukuman qisas adalah hukuman yang sama dan seimbang dengan kesalahan dilakukan. Ia bukan kesalahan terhadap negara, tetapi keluarga mangsa. Keluarga mangsa boleh memaafkan kesalahan tersebut. Keistimewaan qisas ialah pihak yang kena tuduh boleh merayu kepada keluarga mangsa agar dapat digantikan hukuman dengan ganti rugi atau diyah.

“Sekiranya kedua pihak bersetuju maka ganti rugi tersebut boleh menggantikan hukuman qisas itu. Mungkin inilah yang disebut ALLAH dalam Surah Al-Baqarah:179 yang bermaksud: “Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan kehidupan bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa…”, katanya.

Katanya, dengan adanya qisas keluarga mangsa boleh mendapat ganti rugi untuk meneruskan kehidupan mereka kerana yang telah mati itu tidak akan hidup kembali, tetapi kehidupan keluarga mangsa tetap diteruskan.

“Hukuman qisas ini adalah satu-satunya bentuk hukuman yang boleh menyelamatkan manusia seluruhnya daripada bahaya pembunuhan yang bertambah-tambah dari semasa ke semasa. Suatu pembunuhan tidak diikuti pembunuhan lain atau ganti rugi akan menyebabkan timbulnya perasaan dendam,” katanya.

 

Comments