Home Tempatan Tak perlu mukadimah perlembagaan

Tak perlu mukadimah perlembagaan

SHARE

HEBOH dalam kalangan media sosial terutamanya gerakan yang mahukan Rukun Negara dijadikan mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Golongan ini begitu galak memperjuangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memasukkan Rukun Negara sebagai mukadimahnya. Ruangan kali ini tidak berhasrat untuk membincangkan isu ini dari sudut legalistik kerana ia akan menambahkan kekeliruan, khususnya bagi golongan yang tidak memahami struktur asas Perlembagaan Persekutuan serta perlembagaan negeri-negeri di dalam Persekutuan.

Walaupun terdapat beberapa negara yang mempunyai mukadimah kepada perlembagaan, namun saya berpendapat tidak perlu bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memasukkan Rukun Negara sebagai mukadimahnya.

Pada ketika ini, Rukun Negara adalah panduan kepada negara tetapi tidak mempunyai ‘kuasa perundangan’. Kesan memasukkan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan mungkin boleh dilihat sebagai jalan belakang untuk memberi ‘kuasa perundangan’ kepada Rukun Negara.

Hal ini mungkin penting bagi golongan yang mendambakan gerakan ini kerana dalam mukadimah Rukun Negara terdapat perkataan ‘liberal’ dan ‘demokrasi’ yang langsung tidak dapat kita jumpa dalam Perlembagaan Persekutuan ketika ini.

Dalam hal yang demikian pandangan-pandangan liberal lebih mudah ditolak berbanding pandangan yang berpaksikan agama. Manakala demokrasi dilihat sebagai alat untuk mentadbir negara bukan matlamat.

Ironinya golongan ini mungkin terlupa bahawa prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan jika disemat dalam Perlembagaan Persekutuan akan memberi isyarat bahawa semua warganegara Malaysia mesti mempercayai Tuhan.

Oleh itu, tiada warganegara boleh menjadi ateis atau tidak percaya kepada Tuhan.

Persoalannya adalah golongan ini akan memaksa puak ateis ini mempercayai Tuhan dan beragama. Islam memberi kebebasan kepada orang bukan Islam mempercayai apa sahaja agama mereka ataupun tidak beragama.

Mereka tidak boleh dipaksa memeluk Islam ataupun memeluk apa-apa agama lain. Di mana pula hak asasi manusia dalam aspek ini. Walaupun jika usaha ini menjadi realiti ia tidak akan memusnahkan struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang memberi kedudukan istimewa agama Islam berbanding agama lain.

Malaysia tidak memerlukan mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memandu mentafsir Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan digarap oleh Suruhanjaya Reid yang telah menerima pelbagai memorandum dan pandangan dari pelbagai pihak. Semuanya didokumentasikan dan boleh dirujuk bagi mengetahui maksud sebenar Perlembagaan Persekutuan. Malah sejarah negara sejak sebelum penjajahan sering kali dirujuk bagi melihat maksud sebenar Perlembagaan Persekutuan ini. Perlembagaan Persekutuan tidak tiba-tiba muncul pada 31 Ogos 1957 tatkala negara mencapai kemerdekaan.

Ia sebenarnya melangsungkan kesinambungan tataatur masyarakat yang telah lama dipraktikkan.

Biarlah Rukun Negara terus menjadi teras pembinaan negara dan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama dalam negara. Jika pun mahu memuliakan Rukun Negara ia boleh dijadikan sebagai undang-undang biasa melalui akta bukan sebahagian dari Perlembagaan Persekutuan.

Memasukkan Rukun Negara akan menjadikan dokumen undang-undang tertinggi bercelaru kerana terdapat pelbagai peruntukan khusus yang sudah ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang mungkin dilihat sebagai menyempitkan Rukun Negara.

Begitu juga halnya dengan hak asasi manusia yang diperjuangkan golongan ini mungkin akan membantah kewajipan mempercayai Tuhan kerana mereka tiada halangan kepada golongan yang tidak mempercayai Tuhan.

Kesopanan dan Kesusilaan juga mungkin menjadi medan yang diperdebatkan kerana golongan liberal ini sangat mempercayai kerajaan tidak boleh mencampuri urusan moral seseorang.

Malah ‘menjenayahkan’ perlakuan tidak bermoral juga ditentang habis-habisan oleh golongan liberal ini yang antara lain memperjuangkan dan mempertahan perlakuan seks songsang perkahwinan sejenis dan banyak lagi.

Kesopanan dan Kesusilaan tidak mendapat tempat untuk dikawal oleh pihak kerajaan. Jadi apa gunanya jika ia dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kalau tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Oleh yang demikian, saya berpandangan bahawa adalah tidak perlu menjadikan Rukun Negara mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan. Bukan sahaja tidak perlu, tetapi sekiranya ia dilakukan juga, ia akan mendatangkan lebih banyak kekeliruan dan kesukaran dalam mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan. Golongan yang memperjuangkan isu ini perlu berterus terang mengapakah mereka ingin melakukan perkara sebegini.

Biarlah Rukun Negara sebagai Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan terus dijunjung keluhurannya sebagai undang-undang tertinggi negara.

Mahkamah Persekutuan sudah sekian lama memainkan peranannya sebagai pentafsir Perlembagaan Persekutuan dengan tuntas. Fungsi ini biarkanlah dimainkan oleh Mahkamah Persekutuan kerana mereka telah pun menzahirkan kemampuan mereka mentafsir Perlembagaan Persekutuan dengan baik.

Adakah tujuan memasukkan Rukun Negara dalam Perlembagaan Persekutuan sekadar dekorasi kepada undang-undang tertinggi negara ataupun sekadar kosmetik yang ingin mencantikkan paras Perlembagaan Persekutuan?

Seperkara lagi ialah jika pun Perlembagaan Persekutuan dapat dipinda bagi memasukkan Rukun Negara ini yang memerlukan dua pertiga persetujuan ahli Parlimen, Perlembagaan Negeri-negeri juga perlu dipinda bagi memberi refleksi yang sama dalam undang-undang tertinggi negeri ini.

Pertamanya realiti politik ketika ini adalah amat sukar (jika tidak mustahil) bagi kerajaan ketika ini meminda Perlembagaan Persekutuan kerana mereka tidak memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen. Meminda 13 Perlembagaan Negeri yang lain juga bukan merupakan suatu perkara yang mudah. Ia hampir mustahil dilakukan ketika ini.

Sinar Online

Comments