Home Tempatan Tak perlu lagi undang-undang Islam dibentang di Parlimen untuk elak campur tangan...

Tak perlu lagi undang-undang Islam dibentang di Parlimen untuk elak campur tangan kafir

SHARE

BANGI, 27 Syawal 1438H, Jumaat – Tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan, semua undang-undang berkaitan Islam yang hendak dilaksanakan di Malaysia dicadangkan supaya tidak lagi dibentang di Dewan Rakyat untuk mendapat kelulusan.

Ini kerana, pembentangan apa-apa rang undang-undang Islam di Dewan Rakyat hanya mengundang campur tangan daripada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negara bukan Islam, sehingga umat Islam tidak memiliki hak eksklusif untuk mentadbir agama sendiri.

Cadangan supaya undang-undang Islam tidak dibawa lagi ke Dewan Rakyat dibuat oleh Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Mengingatkan semua pihak bahawa Perlembagaan Perekutuan memberi hak kepada mana-mana kumpulan untuk menguruskan hal ehwal agama mereka, beliau berkata, Perkara 11 (3) (a) menjamin hak itu dan tidak boleh diganggu-gugat.

Namun, katanya, peruntukan sedia ada itu tidak digunakanebaik mungkin sehingga merugikan agama itu sendiri, terutama Islam.

“Hakikatnya pada masa sekarang orang Islam tidak secara eksklusif boleh mentadbir agama mereka sendiri apabila jemaah menteri bukan Islam, ahli Parlimen bukan Islam, Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat turut mengambil bahagian dalam perbahasan menyentuh kemurnian Islam fiqh dan juga ajaran yang sangat mendasar.

“Malah kini terdapat NGO dan orang perseorangan bukan Islam turut mempertikai undang-undang Islam yang dibentangkan,” katanya.

Memetik tulisannya dalam Sinar Harian, hari ini, Zainul Rijal berpendapat mekanisme membuat undang-undang ini perlu diubah tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan, kerana kerangka yang ada sekarang sudah tidak sesuai lagi untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam.

Sekarang ini, katanya, semua undang-undang yang digubal dibincangkan jemaah menteri, dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum perkenan diberikan untuk dikuatkuasakan.

“Seharusnya rang undang-undang khusus tentang agama Islam didrafkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Syarak Jakim atau badan yang mahir berkenaan hukum syarak. Kemudian dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk format penggubalan.

“Setelah itu ia perlu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan kepada Majlis Raja-Raja untuk perkenan. Seterusnya, dipanjangkan kepada jemaah menteri hanya untuk disahkan, tanpa perlu dibahaskan, termasuk apabila dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua kerana ia sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Perbezaannya adalah perkenan Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong ini diperoleh terlebih dahulu sebelum perkara ini dibawa ke jemaah menteri dan Parlimen,” katanya.

Langkah ini, katanya, bertujuan mengelakkan perbahasan mengenai apa-apa rang undang-undang mengenai Islam oleh orang bukan Islam, termasuklah orang Islam yang tidak mempunyai ilmu undang-undang Islam.

Dengan cara ini, katanya, orang bukan Islam tidak boleh lagi mencampuri urusan agama Islam dan orang Islam dapat mentadbir agamanya mengikut acuan Islam itu sendiri.

“Ia memberi kesan kepada Perkara 11(3) untuk orang Islam mentadbir agamanya secara eksklusif, terlaksana dan bebas daripada campur tangan pihak-pihak tertentu. Secara dasarnya penulis tidak mengatakan atau mengehadkan campur tangan golongan tertentu terhadap agama Islam semata-mata tetapi ia secara menyeluruh.

“Dengan kata lain, penulis juga tidak mahu pihak tertentu turut mencampuri urusan agama lain misalnya Kristian, Buddha dan Hindu kerana tidak mengetahui hal agama tersebut selain perlu menghormati fahaman agama mereka.

“Tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila perbahasan yang melanggar hukum syarak seperti berlaku terhadap Undang-Undang Keluarga Islam yang berlangsung di Parlimen beberapa tahun lalu, ahli-ahli Dewan Negara bukan Islam turut serta dalam perbahasan dengan melabelkan undang-undang Islam zalim dan menindas serta tidak memihak kepada wanita,” katanya.

Zainul Rijal berkata, dengan cara ini baru kita dapat melihat bahawa undang-undang syariah boleh dilaksanakan dan tiada campur tangan daripada pihak lain yang menghina, mempertikai serta memperkecil undang-undang syariah itu sendiri.

“Ingin penulis tegaskan jika dilihat Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, mengenai sumpah Yang di-Pertuan Agong yang berikrar mengaku taat setia menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri serta pada setiap masa akan memelihara agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.

“Baginda akan dinasihati perdana menteri dan kerajaan yang mempunyai tanggungjawab berperlembagaan untuk menzahirkan sumpah berkenaan. Sumpah ini mempunyai implikasi amat besar terhadap perundangan Islam di negeri. Malangnya ramai tidak ketahui kewujudan sumpah ini.

“Apabila sumpah itu wujud, kerajaan sepatutnya melihat tanggungjawab berperlembagaan ini untuk melaksanakan Islam dan tidak boleh campur tangan, tidak boleh mengabaikan Islam, sebab banyak perkara dalam perlembagaan ini yang ramai kurang arif. Sepatutnya undang-undang berkaitan Islam jika hendak dipinda pun perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum hasrat itu dizahirkan” katanya.

Comments