Home Tempatan Tak perlu himpunan bantah RUU 355, kata Mufti Perlis

Tak perlu himpunan bantah RUU 355, kata Mufti Perlis

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau tidak setuju dengan tindakan sebuah NGO yang mahu menganjurkan himpunan balas kepada Himpunan RUU 355 anjuran PAS pada 18 Februari ini.

SHARE

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis berkata tindakan sebuah NGO menentang himpunan cadangan pindaan rang undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) anjuran PAS, tidak akan mampu menyelesaikan masalah kekeliruan rakyat.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau tidak setuju dengan tindakan sebuah NGO yang mahu menganjurkan himpunan balas kepada Himpunan RUU 355 anjuran PAS pada 18 Februari ini.

“Saya tidak setuju buat perhimpunan balas, saya rasa kalau orang lain buat perhimpunan dengan kita buat juga, ia tidak akan menghentikan perkara ini.

“Ini bukan soal berhimpun tapi soal pendidikan dan bagaimana kita bagi penerangan.

“Satu kumpulan berhimpun kemudian kita berhimpun dan orang lihat kumpulan kita ini kecil pada perhimpunan lain, orang akan lihat majoriti rakyat bersetuju.

“Keduanya bila kita berhimpun ia akan membangkitkan sentimen lain seolah-olah ia anti hudud,” katanya ketika berucap pada forum Sejauh Mana Anda Memahami Hudud hari ini.

Sebelum ini, sebuah NGO dilaporkan akan menganjurkan himpunan balas terhadap Himpunan RUU 355 anjuran PAS, pada hari sama.

NGO yang dikenali sebagai Bebas itu berkata ia pergerakan yang memperjuangkan kesaksamaan, menentang diskriminasi kaum dan menyokong kebebasan beragama di Malaysia.

Asri berkata apa yang perlu dilakukan kumpulan yang tidak bersetuju dengan RUU 355 itu ialah membuat penerangan kepada orang awam, bukannya turut mengadakan himpunan balas.

“Saya secara umum nasihatkan saudara, saudari Muslim dan bukan Muslim supaya membaca benda yang membabitkan Islam ini daripada sumber betul.

“Kita tidak mahu orang syak kepada agama dengan kita baca benda yang salah, kita kena pastikan apa yang kita baca daripada sumber yang betul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bebas Azrul Mohd Khalib berkata walaupun ditegur Asri pihaknya terap akan mengadakan perhimpunan pada Sabtu ini untuk menentang pindaan RUU 355 yang dibawa PAS.

“Sudah tentu kita akan teruskan himpunan ini di padang dekat Amcorp Mall,” katanya ketika ditemui FMT selepas forum itu.

Free Malaysia Today

Comments