Home Tempatan Tajdid erti kemerdekaan

Tajdid erti kemerdekaan

SHARE

SUDAH 60 tahun kita merdeka. Perlu disemak kembali sejauh mana pencapaian dalam semua bidang yang telah kita capai. Adakah 60 tahun belum cukup untuk membina sebuah negara yang merdeka mengikut acuan kita terutamanya halatuju bangsa Melayu di Malaysia ini. Sepatutnya kita semakin kukuh dalam politik setelah berlalu 60 tahun.

Begitu juga dalam bidang –bidang yang lain seperti ekonomi, pendidikan,undang-undang dan lain-lain lagi. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dalam politik kita semakin hilang bargaining power. Bidang perundangan dan perlembagaan kedudukan agama dan bangsa semakin dicabar bukannya semakin mengukuh. Apatah lagi dalam bidang ekonomi, amat jauh kebelakang pencapaian berbanding dengan bangsa lain yang hanya berada di negara kita diambang merdeka tetapi dapat membina empayar perniagaan yang luas.

Mereka bukan sahaja menguasai ekonomi negara tetapi kekuatan mereka dapat melemahkan kuasa politik dan perundangan yang kita ada. Hak bangsa dan agama kita terpaksa memohon restu dari mereka. Kita terpaksa memberi penjelasan kepada mereka agar menyokong hak bangsa dan agama kita. Jika mereka sokong maka kita memperolehi hak bangsa dan agama kita dalam undang-undang dan perlembagan. Amat dayus bangsaku yang dulu terkenal dengan kehebatan dan kegemilangan. Kenapa terjadi sedemikian.

Dimanakah silapnya laluan kita atau kita masih terbelenggu dengan penjajah yang meninggalkan sistem mereka untuk melemahkan kita. Mungkin kita masih menggunakan acuan mereka untuk menentukan halatuju bangsa dan agama kita.

Penjajah telah meninggalkan kita tapi bayang penjajah masih menghantui dalam semua tindak tanduk sehingga hilang jati diri bangsa dan agama dalam kehidupan kita. Dalam ekonomi kita kehilangan harta. Rezab Melayu semakin luput tiada yang diganti kan. Dalam politik kita kehilangan bargaining power walaupun bangsa kita masih majoriti sebagai warganegara . Hampir dalam semua perkara bangsa kita semakin kebelakang.

Mari kita lihat sejarah bangsa lain sekitar kita. Meiji di Jepun dapat membina imej Jepun baru bermula 1868-1912 dan dapat dilihat kejayaan yang mereka capai untuk bangsa Jepun sementara Chulalongkorn dapat bina Siam baru bermula 1868-1910. Mereka semakin maju dan berjaya membina jatidiri negara dan bangsa mereka. Dalam tempoh lebih kurang 40 tahun mereka dapat bina jati diri dan maruah bangsa mereka.

Tapi di mana kita. Meiji dan Chulalongkorn dapat lihat hasil keringatnya semasa hayatnya masih ada. Mereka yang mulakan perjuangan dan akhirnya mereka dapat lihat hasil semasa hayat mereka. Bagaimana dengan kita. Adakah tidak cukup dengan tempoh yang kita lalui selama 60 tahun merdeka. Atau kita tidak ikut acuan kita yang asli dan tulen menyebabkan kita terus kebelakang dalam politik,ekonomi, perundangan, sosial, pendidikan dan lain-lain lagi.

Hakikatnya kita masih kaku dengan warisan penjajah walaupun penjajah telah meninggalkan kita. Warisan penjajah masih menyelubungi sanubari walaupun kita mendakwa telah merdeka. Warisan penjajah masih menunjangi corak pemikiran dan tata cara hidup kita. Memang inilah yang diingini oleh penjajah. Sehingga bila kita harus sebegini. Jika berlarutan kita akan hilang segala-galanya.

Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir
YDP Isma Pasir Puteh
Mantan YDP Syura Isma Malaysia

Comments