Home Tempatan Tabung Haji umum bonus 5.75 peratus

Tabung Haji umum bonus 5.75 peratus

SHARE

PUTRAJAYA: Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan bonus atau Hibah TH 2016 kepada pendeposit adalah sebanyak 4.25 peratus dan tambahan Hibah Haji sebanyak 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata bayaran hibah berkenaan secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada 9.1 juta pendeposit manakala tambahan Hibah Haji pula akan memanfaatkan 8.5 juta pendeposit yang belum pernah menunaikan haji.

“Pendeposit boleh menyemak pengkreditan Hibah TH 2016 di kaunter TH dan ATM bank strategik seperti Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya pada majlis Pengumuman Hibah kepada pendeposit TH 2016, di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Jamil Khir turut menekankan kepada pendeposit bahawa simpanan mereka yang sedia ada dalam akaun termasuk bayaran hibah yang akan dikreditkan ke dalam akaun nanti adalah selamat dan 100 peratus dijamin oleh kerajaan.

“Hibah yang diumumkan ini sudah mengambil kira 2.5 peratus bayaran Zakat Perniagaan TH 2016 sebanyak RM60.3 juta, yang mana bayaran zakat berkenaan akan dibuat kepada semua Pusat Pungutan Zakat (PPZ) negeri dan juga secara langsung kepada asnaf yang layak,” katanya.

Berita Harian

Comments