Home Tempatan Tabung Haji giat uruskan visa jemaah haji yang bermasalah

Tabung Haji giat uruskan visa jemaah haji yang bermasalah

SHARE

BALING: Tabung Haji (TH) meminta jemaah haji yang menghadapi masalah memperoleh visa supaya tidak perlu khuatir kerana mereka sudah terpilih menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata, jemaah haji perlu bersabar untuk menunggu mendapatkan visa berkenaan kerana pada masa yang sama pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kedutaan Arab Saudi bagi mempercepatkan urusan itu.

“Ini perkara normal kerana untuk mendapatkan kelulusan visa, setiap permohonan visa jemaah haji perlu melalui proses yang terperinci termasuk pemeriksaan data peribadi, perjanjian tempat penginapan di Makkah dan Madinah, penerbangan, pengangkutan dan sajian serta butiran bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Ini semua perlu dilakukan kerana ia berkait rapat dengan perundangan kerajaan Arab Saudi. Hanya segelintir sahaja jemaah yang menghadapi masalah ini,” katanya selepas merasmikan majlis pemberian Pindah Milik Perumahan Penempatan Penduduk Rakyat Termiskin (PPRT) Desa Keda Sadek, Kupang di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Baling Md Shuhaime Abd Rahman dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Arifuddin Habib.

Abdul Azeez berkata, kelewatan pengeluaran visa juga disebabkan faktor permohonan yang terlalu tinggi dalam sistem tersebut yang terpaksa mengendali jutaan permohonan jemaah haji dari seluruh dunia.

“Bagaimanapun TH dan Kedutaan Arab Saudi sentiasa bekerjasama dan memantau pada setiap masa untuk mendapatkan dan mencetak visa jemaah haji yang terbabit termasuk pada hari cuti hujung minggu.

“Pihak kami sentiasa optimis masalah ini dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat dan kesemua para jemaah terpilih akan meneruskan perjalanan ke tanah suci dengan lancar,” katanya.

Abdul Azeez juga menasihatkan jemaah haji yang sedang menghadapi masalah kelewatan visa untuk bersabar kerana proses mendapatkan visa haji sedang giat dijalankan dan memberi jaminan para jemaah akan diterbangkan ke Tanah Suci sebaik sahaja visa diperoleh.

Dalam pada itu, seramai 110 penduduk di Keda Sadek menerima geran hak milik rumah selepas lebih 20 tahun menghuni penempatan berkenaan.

Abdul Azeez berkata, semua penghuni yang tinggal di lima penempatan Keda di Parlimen Baling akan mendapat hak milik sebelum berakhirnya tahun ini.

Empat lagi rumah PPRT itu ialah di Banggol Petai, Bandar, Keledang dan Ulu Bakai manakala 20 penempatan PPRT di Kedah membabitkan 3,663 penduduk akan diberi hak milik rumah selewat-lewatnya akhir tahun ini dan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Comments