Home Tempatan Syria dilanda penghapusan ideologi

Syria dilanda penghapusan ideologi

SHARE

GOMBAK: Pergolakan di Syria semakin meruncing susulan kekejaman askar rejim Bashar al-Assad yang didakwa melakukan penghapusan ideologi terhadap penduduk secara besar-besaran.

Pengerusi Yayasan al-Ahbab al-Insaniyah, Syeikh Abdullah Rahhal, berkata konflik di republik itu sebelum ini dikaitkan dengan krisis kemanusiaan, namun berubah kepada pengusiran penduduk Syria yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kekejaman itu, katanya, dilakukan secara senyap dan bertopengkan pelbagai usaha digerakkan askar rejim, kononnya bagi menempatkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat serta bebas daripada serangan.

“Kalau penduduk enggan tunduk kepada perintah askar, mereka akan bertindak lebih kejam dengan menyekat semua bantuan makanan, perubatan dan kemudahan asas supaya mencetuskan tekanan kehidupan.

“Berikutan tidak tahan dengan sekatan berkenaan, penduduk terpaksa keluar dan merempat di kawasan lain, malah ada yang mencari perlindungan di negara jiran kerana khuatir keluarga mereka akan dibunuh.

“Askar akan menempatkan penduduk luar Syria seperti Iran, Afghanistan dan Yaman yang berpegang kepada ajaran Syiah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Simposium Hala Tuju Masa Depan Syria: Hentikan Tragedi Kemanusiaan di Syria di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.

Sheikh Abdullah berkata, penghapusan ideologi semakin menular apabila wilayah Darayya yang terletak kira-kira lapan kilometer di barat daya Damascus sebelum ini mempunyai hampir 250,000 Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagaimanapun, katanya, askar rejim melakukan siri pengeboman, sekatan dan pembunuhan untuk mengusir penduduk keluar sebelum memasukkan ratusan ribu pengikut Syiah ke wilayah berkenaan.

“Ini rancangan terbaru yang didalangi askar rejim, namun ia tidak diketahui umum kerana mereka lakukannya dengan pelbagai helah untuk mengaburi mata pasukan pengaman,” katanya.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Kemanusiaan Syria, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, berkata Malaysia mempunyai kelebihan untuk menjadi orang tengah dalam merungkai konflik di Syria kerana dilantik sebagai Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB (UNSC).

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan terhadap negara untuk menerajui kedudukan itu untuk dua penggal berturut-turut, iaitu dari 2014 hingga 2016 memberi gambaran masyarakat antarabangsa menaruh pelbagai harapan terhadap Malaysia.

“Saya percaya Malaysia akan diberi mandat untuk menerajui kedudukan itu, justeru ia boleh digunakan untuk merungkai ketegangan yang semakin meruncing di Syria.

“Sekurang-kurangnya Malaysia boleh mendesak masyarakat antarabangsa supaya tiada sekatan dikenakan untuk misi bantuan kemanusiaan disalurkan ke seluruh pelosok Syria,” katanya.

Berita Harian

Comments