Home Tempatan Susur galur Melayu Tanjung, asimilasi keturunan Merican

Susur galur Melayu Tanjung, asimilasi keturunan Merican

SHARE

KUALA LUMPUR: Merican ialah nama keluarga yang biasa didengar dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Umumnya nama itu dikaitkan dengan Kapitan Keling yang pertama di Pulau Pinang, iaitu Abdul Kader Mohideen Merican atau dikenali juga sebagai Cauder Mohideen atau Mydin Merican.

Bagaimanapun, ada juga kelompok Merican yang tidak ada kaitan dengan Kapitan Keling.

Golongan itu ada sebahagiannya beragama Islam dan turut berkahwin dengan orang tempatan, sementara ada juga yang tidak dirujuk sebagai Melayu sebaliknya India Muslim kerana tidak mengamalkan cara hidup Melayu, selain bertutur dalam bahasa Tamil dan berkahwin sesama sendiri.

Pensyarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga pengkaji sejarah Pulau Pinang, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, berkata umumnya golongan Merican di negara ini adalah Melayu.

Golongan Markayar

Beliau berkata, sejarah keturunan Merican sangat kompleks dan panjang, selain mereka sudah berada di Tanah Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila mereka berlayar sebagai golongan Markayar.

“Merican merujuk kepada Marakayar atau Maraicar yang berasal daripada perkataan Tamil ‘maraikalayar’ bermaksud pelaut, pedagang, pembuat kapal, nakhoda dan laksamana yang berasal dari pesisir pantai Koromandel di Tamil Nadu.

“Di India, mereka dikategorikan sebagai etnik dan identiti Arab-Tamil. Ada juga orang Marakayar ini yang datang ke Tanah Melayu dari Bangkok. Di sana mereka membina perniagaan sebelum merantau dan terus berniaga ke Tanah Melayu.

“Selain di Pulau Pinang, golongan ini juga datang ke Kedah dan Perak selain Singapura dan berkahwin dengan orang tempatan,” katanya.

Tambah Ahmad Murad, di kawasan pesisir pantai Tamil Nadu seperti di Perrangi Pettai (Porto Novo) dan Nagapttinam, masih ada kelompok asal masyarakat ini yang beragama Islam mazhab Shafie.

Di Pulau Pinang tegasnya, selain berkahwin dengan orang Melayu, keturunan Merican juga berkahwin dengan orang Arab dan Peranakan Arab, berasimilasi secara baik dengan budaya tempatan, bercakap dan mengamalkan cara hidup Melayu, sekali gus menyebabkan mereka dirujuk sebagai Jawi Pekan, iaitu orang Melayu yang tinggal di pekan atau disebut juga sebagai Melayu Tanjung.

Identiti Jawi Pekan

“Pada lewat 1800 dan awal 1900, istilah Jawi Pekan sudah digunakan sebagai bangsa dalam sijil kelahiran. Menariknya, dalam konteks ini identiti Jawi Pekan saling dikaitkan dengan nama Merican,” katanya.

Penggunaan nama Jawi Pekan ini juga digunakan bagi membezakan antara kumpulan Melayu Islam atau orang asing dan bukan Melayu yang tinggal di luar bandar.

Ahmad Murad yang juga lahir dalam keluarga Merican berkata, salasilah keluarganya dikesan daripada perkahwinan Othman Labbai Merican dengan Fatimah Sham Meera Lebby Merican dengan beliau sendiri ialah generasi keenam dari Kapitan Keling.

Fatimah Sham yang juga adalah nenek beliau ialah cucu dari isteri ketiga Abdul Kader Mohideen Merican, yakni Tengku Maheran atau dikenali juga sebagai Wan Chik Taiboo dari istana Kedah. Anak Wanchik Taiboo bernama Udman Kandu.

Penting dokumentasi salasilah keluarga

“Ada banyak maklumat mengenai Fatimah Sham. Beliau adalah anak saudara kepada Aboo Sittee atau Abu Bakar Siddiq Merican, pelopor bangsawan di Tanjong, namun tidak banyak maklumat mengenai Othman Labbai.

“Apakah Othman Labbai juga berketurunan dari Abdul Kadir Mohideen Merican tidak dapat dipastikan.

“Apa yang diketahui Othman Labbai Merican bergerak dari India, bermastautin dan berniaga di Bangkok, dan memiliki harta di sekitar Sungai Chao Phraya.

“Pada zaman itu agak lazim bagi mereka dari benua India dan Parsi bermastautin di Bangkok (dan Ayutthia) awal dan sepanjang abad ke-19,” katanya.

Tambah Ahmad Murad yang juga Pengerusi Ahli Jawatankuasa Keluarga Othman Labbai Merican berkata, orang Melayu tidak cenderung untuk mendokumentasikan salasilah keluarga.

“Ia sebenarnya bukan hanya cerita keluarga, tetapi dokumentasi asal usul, peristiwa, pengalaman, naratif masyarakat setempat dan sejarah negara. Ia akan sentiasa berkembang dan dikemas kini kerana akan banyak penemuan data dan informasi setiap kali kita membuat penyelidikan,” katanya.

Berita Harian

Comments