Home Antarabangsa Suspek serangan siber guna ransomware diburu

Suspek serangan siber guna ransomware diburu

SHARE
Pasukan penyiasat antarabangsa sedang menjalankan siasatan bagi menjejaki suspek serangan siber menggunakan ransomware. GAMBAR HIASAN

LONDON 15 Mei – Para penyiasat antarabangsa memburu suspek ter­babit dalam serangan siber terbesar yang menyerang sistem di puluhan negara termasuklah bank, hospital dan agensi kerajaan seluruh dunia.

Menurut Agensi Kerjasama Pe­nguatkuasaan Undang-Undang Ke­­­satuan Eropah (Europol), sera­ngan terbaru itu berada pada tahap mem­bimbangkan dan memerlukan siasatan menyeluruh di pe­ringkat antarabangsa bagi mengesan suspek terlibat.

Tambah Europol, sebuah pasu­kan petugas khas di Pusat Jenayah Siber Eropah dikerahkan untuk membantu siasatan dan memainkan peranan penting bagi menyokong usaha tersebut.

Serangan berkenaan menggu­na­kan ransomware yang meme­cah masuk ketirisan sekuriti pada sistem operasi Windows seseorang individu lalu mengunci fail komputer mereka dan perlu membayar sejumlah wang dalam bentuk Bitcoin kepada suspek.

Satu imej akan terpapar pada skrin komputer mangsa yang menuntut pembayaran sebanyak AS$300 (RM1,301).

Selain itu, suspek akan menuntut mangsa membuat pembayaran dalam tempoh tiga hari dan jika enggan, jumlah tersebut bakal digandakan malah sekiranya tiada transaksi wang dilakukan dalam masa tujuh hari, fail peribadi mereka berkemungkinan dipadam.

“Membayar wang kepada suspek tidak memberi jaminan fail tersebut akan dilepaskan. Malah perbuatan itu hanya akan mendorong mangsa mendedahkan maklumat perbankan kepada suspek,” kata pasukan tindakan kecemasan komputer Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, firma keselamatan komputer, Kaspersky Lab berkata, virus berkenaan merebak dengan cepat kerana suspek menggunakan kod digital dipercayai dibangunkan oleh Agensi Kese­la­matan Kebangsaan AS dan kemudian disebarkan di dalam tempat pembuangan dokumen. – AFP

UTUSAN ONLINE

 

Comments