Home Tempatan Suruhanjaya Siasatan Diraja Perlu ditubuhkan demi Islam!

Suruhanjaya Siasatan Diraja Perlu ditubuhkan demi Islam!

SHARE

PULAU PINANG: Pencerobohan dan putar belit ke dalam hal ehwal agama Islam oleh Ketua Menteri dan Exco Agama Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu diberhentikan dengan serta merta. Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, pihaknya mempunyai bukti kukuh, walaupun kerajaan negeri beberapa kali cuba menafikan dakwaan ini.

Menurutnya, jelas apabila Ketua Menteri Lim Guan Eng menulis surat meminta bekas Mufti Datuk Seri Hassan Ahmad dan jawatankuasa fatwa bermesyuarat semula sedangkan fatwa itu sudah ditandantangani oleh Yang DiPertuan Agong (YDPA). Cuma setelah itu satu salinan boleh diberikan kepada Exco Agama Dato’ Abdul Malik Kassim itupun untuk tujuan makluman dan tujuan pewartaan sahaja.

“Sedangkan tidak ada tujuan dan kuasa Guan Eng menulis surat meminta bekas mufti untuk bermesyuarat semula atas isu fatwa dan inilah antara bukti pencerobohan itu,”katanya.

Ditanya mengapa Ketua Menteri bertindak untuk memfailkan saman ke atas beberapa akhbar tempatan, Mohammed Hafiz berkata, kebiasaan bagi orang politik seperti Guan Eng, apabila melakukan kesalahan dan untuk menutupnya semula maka mulalah mereka mengugut untuk menyaman akhbar dan sebagainya.

“Biasalah orang politik apabila mahu tutup kesalahan apa lagi yang dia akan buat, maka samanlah jalan sinonimnya, bagaimanapun saya yakin kebenaran berhubung siasatan yang dijalankan ke atas pencerobohan ini,”katanya.

Mohamed Hafiz turut mendesak pihak YDPA atau pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) agar menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja atau Royal Commission Of Inquiry (RCI) untuk menyiasat tentang pencerobohan yang sangat biadab ini.

Kata beliau, satu pencerobohan besar telah dilakukan oleh Kerajaan Pulau Pinang ke atas agama Islam dan kuasa mutlak YDPA kerana mencampuri urusan fatwa, lebih-lebih lagi apabila ianya telah ditandatangani pihak YDPA dan ini adalah satu pencerobohan kuasa ke atas agama Islam yang tidak dapat dimaafkan.

“Dikhuatiri pencerobohan yang berleluasa telah berlaku sebelum ini ke atas semua fatwa-fatwa dari Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan menggesa Kerajaan Negeri agar menghormati Perlembagaan, Yang Dipertuan Agong dan agama Islam,”katanya.

Kata beliau, Mufti Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga melakukan kesalahan dan terbabit sama dalam pencerobohan ini. “Sepatutnya mufti bertanggungjawab secara langsung kepada YDPA bukan kepada kerajaan negeri.”

“Mufti tidak menjalankan tugasnya dengan betul dan tidak sepatutnya terlibat sehingga mengeluarkan kenyataan yang sama seperti exco,”katanya. Menurut beliau, mufti sepatutnya tahu dan jelas akan tugas dan tanggungjawab dan beliau perlu bebas dari Kerajaan Pulau Pinang.

“Dia fikir dia bekerja dengan kerajaan Pulau Pinang, jelas dia tidak memahami bidang  kuasanya sebagai mufti yang sepatutnya berdiri teguh dibelakang YDPA dan mempertahankan institusi agama tetapi berlaku sebaliknya,”katanya.

“Saya mencadangkan agar pihak YDPA atau Jakim mengemukakan permohonan semakan dari sudut perundangan kepada Mahkamah Persekutuan bagi menamatkan putar belit yang sedang dimainkan oleh ketua menteri serta exco kerajaan Pulau Pinang agar perkara serius ini tidak berulang lagi,”katanya.

Semua cadangan dan pandangan yang saya kemukakan ini adalah untuk memastikan agar tiada pencerobohan ke atas agama Islam akan berlaku lagi selepas ini samada di negeri Pulau Pinang atau negeri-negeri Selat yang lain yang berada di bawah kuasa mutlak Yang DiPertuan Agong selaku ketua agama Islam.

Comments