Home Tempatan Surat Malik bukti wujud campur tangan

Surat Malik bukti wujud campur tangan

SHARE

ULASAN | Surat Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim kepada mufti Pulau Pinang bertarikh 26 Mei 2010 adalah bukti wujudnya campur tangan exco dan kerajaan negeri dalam urusan pemfatwaan oleh Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.

Salinan surat itu juga diberikan kepada ketua menteri Pulau Pinang yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri.

Alasan Abdul Malik tidak berlaku campur tangan kerana jawatankuasa fatwa tidak menurut permintaan beliau melalui surat itu, tidak boleh diterima pakai.

Soal sama ada jawatankuasa fatwa akur atau tidak dengan kehendak atau permintaan exco agama dan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak bermakna campur tangan tidak berlaku.

Apakah tujuan dan hasrat sebenar Abdul Malik mengeluarkan arahan melalui surat bertarikh 26 Mei 2010 kepada jawatankuasa tersebut?

Kenyataan bekas mufti Datuk Seri Hassan Ahmad (gambar, kiri) pada 6 Februari 2017 dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, Dato Salleh Ahmad, pada 8 Februari 2017 adalah bukti wujudnya campur tangan kerajaan negeri melalui arahan exco hal ehwal Islam.

Pada 31 Januari 2017, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyebut keputusan untuk mewartakan sesuatu fatwa oleh jawatankuasa fatwa negeri perlu terlebih dahulu dikemukakan ke dalam mesyuarat MMK negeri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ini bercanggahan dengan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 pecahan (3) dan (4).

Ikut cara era BN

Enakmen tidak menyebut fatwa yang telah diluluskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dibawa untuk makluman atau perkenan MMK Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Lim Guan Eng sebagai ketua menteri sebelum dipersembahkan kepada Agong untuk mendapatkan perkenan.

Sekiranya benar terdapat fatwa-fatwa yang “tertangguh” di peringkat MMK negeri sebagai didakwa oleh beberapa pihak, ia boleh dianggap satu penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang sebagai wakil Agong, dan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Pulau Pinang.

Kita juga ingin meminta Datuk Salleh Man sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) dan bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang supaya menyatakan pendirian beliau dalam isu ini.

Sehingga kini kita masih belum mendengar sebarang kenyataan daripada beliau sejak isu campur tangan kerajaan negeri dalam urusan pemfatwaan ini mula berbangkit berikutan dakwaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan setiausaha agong parti itu.

Kenyataan Hassan (bekas Mufti Pulau Pinang) yang mula berkhidmat semasa kerajaan Pulau Pinang diterajui oleh BN bahawa arahan supaya fatwa dimaklumkan terlebih dahulu kepada exco agama dan MMK negeri tidak pernah ada.

Ini menunjukkan tidak pernah berlaku campur tangan sepanjang BN memjadi teraju kerajaan Pulau Pinang.

Berbeza dengan pendekatan dan amalan urus tadbir kerajaan DAP Pulau Pinang yang ada pada hari ini.

Kita harap pentadbiran Islam dan pekara-perkara yang berhubung kait dengan seperti urusan pemfatwaan oleh Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dan urus tadbir Maipp, urusan zakat dan lain-lain seumpamanya dilaksanakan mengikut enakmen dan peraturan-peraturan sedia ada, seperti semasa era pentadbiran BN, tanpa campur tangan politik yang tidak wajar daripada kerajaan DAP Pulau Pinang.

DATUK SERI ZAINAL ABIDIN OSMAN ialah pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang. Kenyataan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiakini

Comments