Home Tempatan Sultan Nazrin Gesa Hakim Tulis Penghakiman Bertentangan, Jika Perlu

Sultan Nazrin Gesa Hakim Tulis Penghakiman Bertentangan, Jika Perlu

SHARE

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menggesa hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan untuk menulis penghakiman bertentangan jika mereka tidak bersetuju dengan majoriti panel hakim.

Baginda bertitah walaupun tidak dapat disangkal, pendapat sebulat suara amat bernilai, namun adalah kritikal untuk hakim-hakim memberikan pendapat yang bertentangan jika perlu.

“Ada kalangan hakim mungkin berpegang teguh pada sabitan di sisi undang-undang dan moral, namun gagal memberikan pertimbangan sewajarnya berhubung kebimbangan mereka dalam penghakiman mereka dan mereka mungkin kekal membisu apabila tidak bersetuju dengan penghakiman hakim lain; bimbang bahawa komen mereka mungkin diketepikan; atau mungkin tersalah anggap bahawa apa yang mungkin mereka ingin katakan adalah tidak penting,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, bagaimanapun panel hakim dan proses membuat keputusan badan kehakiman boleh dengan mudah mengendalikan sebarang pendapat yang berbeza bagi mana-mana isu.

“Kadang-kadang suara bertentangan yang berani diterjemahkan menjadi undang-undang. Satu kes klasik adalah Brown lwn Lembaga Pendidikan 347 US 483 (1954) apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat memberi perhatian terhadap suara Hakim Harlan yang memberikan pendapat bertentangan dalam kes Plessy lwn Ferguson 163 U.S. 537 (1896).

“Hasilnya, dalam penghakiman bersejarah itu, Ketua Hakim Negara Warren pada ketika itu memutuskan bahawa pemisahan kaum di sekolah-sekolah awam adalah pencabulan terhadap perlembagaan Amerika Syarikat yang menjamin hak sama rata,” titah baginda dalam titah ucapan khas pada pelancaran buku bertajuk ‘Justice Above All, Selected Judgments of Tun Arifin Zakaria With Commentaries’ di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah hakim perlu bebas untuk memberikan alasan dalam penghakiman yang mereka fikir sesuai, iaitu, pendek kata, untuk Kedaulatan Undang-Undang terus subur, mahkamah dan peserta mereka perlu dibenarkan untuk menyuarakan pelbagai idea dan prinsip.

Baginda bertitah penghakiman yang dibuat hakim sebenarnya yang menentukan keputusan yang dibuat mereka.

“Setiap hakim perlu diberi peluang untuk mengambil bahagian sepenuhnya, malah walaupun keputusan majoriti yang menentukan keputusannya. Kebebasan badan kehakiman sebenarnya, membantu dalam menjamin Kedaulatan Undang-Undang didukung sepenuhnya.

“Pematuhan terhadap Kedaulatan Undang-Undang perlu menjadi teras dan pegangan semua hakim dalam menghakimi semua perkara di hadapan mereka — tidak kira isu apa pun, tidak kira kepentingan siapa yang mereka perlu buat keputusan. Ini bagi memastikan bahawa keadilan sentiasa terpelihara,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah karakter, kualiti dan kebebasan hakim sendiri turut berperanan dalam mengekalkan keyakinan awam terhadap mahkamah kerana hakim bukan berada di situ sekadar untuk membuat keputusan terhadap sesuatu kes tetapi untuk membuat keputusan terhadap kes secara adil dan saksama.

Baginda bertitah melakukan perkara yang betul merupakan tanggungjawab semua hakim dan malah, ia merupakan tugas hakiki mereka.

Baginda menambah dalam membuat keputusan, amt penting bagi hakim memberikan alasan dalam penghakiman bertulis mereka kerana ia amat penting.

“Pertamanya, ia mencerminkan ketelusan dan akauntabiliti proses membuat keputusan, komponen penting dalam mendapatkan keyakinan awam; dan keduanya, menerusi penghakiman-penghakiman ini undang-undang dirumuskan”.

Sultan Nazrin bertitah sebagai peguam yang arif tentang ‘common law’, dalam membuat penghakiman mereka, hakim perlu memiliki naratif yang mantap, bagi memastikan kewajaran alasan dalam penghakiman mereka adalah tepat.

Baginda bertitah kualiti berkenaan dapat dilihat dengan jelas dalam penghakiman hakim-hakim hebat, di masa lepas dan ketika ini, dan hakim seumpama itu mendominasi dan mentakrifkan pencapaian mereka, malah pembentukan diri mereka sendiri dicirikan olehnya.

“Beberapa daripadanya adalah tokoh terkemuka badan kehakiman, yang legasi penghakiman hebat mereka akan diwariskan ke generasi seterusnya. Sehubungan itu, kita akan sentiasa terhubung budi pada alasan yang jelas dan menyeluruh dalam penghakiman Tun Suffian, Tun Azmi, Tuanku Sultan Azlan Shah, hakim-hakim Eusoffee Abdoolcader, HT Ong, SS Gill dan tokoh hakim yang lain,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah apabila hakim bersara, mereka meninggalkan banyak penghakiman yang akan terus menjadi sebahagian undang-undang – untuk diguna pakai, dianalisis dan diteliti.

Baginda bertitah dalam mengharungi waktu-waktu mencabar, institusi itu kadang kala dilihat seolah-oleh terancam dan dengan itu adalah amat penting untuk memastikan tanggapan awam terhadap badan kehakiman perlu berada pada tahap tertinggi dan paling jelas.

“Lebih-lebih lagi, kita memerlukan hakim yang berani dan adil untuk menanamkan keyakinan bahawa sistem kehakiman kekal suci dalam melindungi hak, kepentingan dan kebebasan semua.

“Badan kehakiman dengan itu, perlu terus berusaha untuk menegakkan keadilan mengikut Kedaulatan Undang-Undang. Selain merupakan prasyarat penting bagi melindungi hak sivil dan politik dan memastikan tadbir urus baik, ia juga menyediakan asas bagi pertumbuhan ekonomi dan kemajuan,” titah baginda.

Baginda bertitah dengan menyediakan keputusan penghakiman yang adil dan jelas berhubung perkara berkaitan penguatkuasaan hak-hak komersial, sistem kehakiman yang berfungsi baik akan membantu dalam menggalakkan iklim ekonomi yang kompetitif dan menarik di negara ini.

“Tatkala ekonomi dan masyarakat kita terus mengalami perubahan, kemajuan yang dicapai setakat ini akan memantapkan lagi badan kehakiman kita yang matang, dan berpaksikan integriti dalam proses membuat keputusan kehakiman”.

Sultan Nazrin bertitah baginda percaya bahawa penghakiman yang hebat adalah atas hakikat bahawa pembuat keputusan faham sepenuhnya akan tanggungjawab mereka sebagai pelindung Kedaulatan Undang-Undang, dan patuh sepenuhnya terhadap prinsip itu.

“Dengan ini, beta ingin mengakhiri titah ucapan dengan petikan, sekali lagi daripada ayahanda beta, Tuanku Sultan Azlan Shah, yang sepertimana Tun Arifin, juga merupakan Ketua Hakim Negara.

“Beta petik, ‘Undang-undang berkaitan kebebasan badan kehakiman… digubal untuk menjamin bahawa ia bebas daripada tekanan luar dan bebas daripada semua autoriti, kecuali undang-undang. Semua itu, adalah dengan itu, perlu untuk memelihara Kedaulatan Undang-Undang,” titah baginda.

Bernama

Comments