Home Antarabangsa Sukarelawan masih tunggu kelulusan mendarat

Sukarelawan masih tunggu kelulusan mendarat

SHARE
Abdul Azeez Abdul Rahim. - Foto Bernama

DI ATAS KAPAL NAUTICAL ALIYA – BANGLADESH. Sukarelawan misi kemanusiaan ‘Food Flotilla for Myanmar’ masih belum memperoleh kebenaran daripada kerajaan Bangladesh untuk turun ke darat dan seterusnya bergerak ke kem pelarian Rohingya di negara itu.

Ketua misi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya tetap berharap kelulusan diperoleh selewat-lewatnya esok (Ahad).

“Saya berharap kerajaan Bangladesh dapat memberi kelulusan untuk 184 sukarelawan turun menyalurkan bantuan. Kami ingin bantu saudara sesama Islam yang ditindas.

“Saya telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk turut membantu (usaha mendapatkan kelulusan),” katanya kepada pemberita.

Abdul Azeez berkata apabila berlabuh di Chittagong pada Isnin nanti, kumpulan sukarelawan berharap mereka dapat mengunjungi kem menempatkan pelarian Rohingya di Kutupalong dan Teknaf.

Katanya sukarelawan dijangka menggunakan jalan darat sejauh 130 kilometer dari Chittagong untuk pergi ke bandar tepi laut Cox’s Bazar dalam perjalanan ke kem pelarian.

“Kami dijangka berada di Bangladesh selama empat hari untuk melakukan penyerahan bantuan serta aktiviti lain,” kata Abdul Azeez.

Beliau berkata pihaknya akan meminta pihak berkuasa Bangladesh untuk membantu memastikan tahap keselamatan para sukarelawan.

Misi yang masuk hari kesembilan itu membawa lebih 2,000 tan makanan, keperluan perubatan, barang keperluan harian serta pakaian dan selimut.

Kapal Nautical Aliya pada Khamis berlabuh di pelabuhan Yangon, Myanmar untuk menghantar bantuan untuk manfaat komuniti Rohingya di negara itu, sebelum meneruskan pelayaran ke Chittagong.

Food Flotilla for Myanmar anjuran Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu disertai 184 sukarelawan daripada 12 negara.

Ia merangkumi pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta wakil pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan luar negara. – Bernama

Sinar Online

Comments