Home Tempatan Suhakam ‘keliru’ hukuman sebat RUU 355, kata PAS

Suhakam ‘keliru’ hukuman sebat RUU 355, kata PAS

Sebatan syarie adalah sebatan bersifat pengajaran yang tidak melukakan kulit.

SHARE

PETALING JAYA: PAS hari ini menyifatkan pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) “sangat keliru” mengenai kaedah hukuman sebat di bawah syariah, selepas pengerusinya Tan Sri Razali Ismail mengkritik cadangan parti itu meningkatkan hukuman sebat ke atas pesalah Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana sebatan syarie adalah bersifat pengajaran yang tidak melukakan kulit.

“Ia bukan penderaaan,” katanya kepada FMT hari ini.

Razali baru-baru ini berkata langkah PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 mencabul perjanjian antarabangsa mengenai penyeksaaan yang ditandatangani Malaysia.

“Merotan dan/atau menyebat dalam apa juga ketetapan melanggar larangan mutlak ke atas penyeksaaan dan hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan baru-baru ini.

Ciri utama pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang diusulkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah meningkatkan hukuman untuk pesalah syariah, daripada denda maksimum RM5,000, 6 sebatan rotan dan 3 tahun penjara kepada RM100,000, 100 sebatan rotan dan 30 tahun penjara.

Khairuddin berkata berdasarkan hujah Suhakam, banyak pindaan lain perlu dibuat terhadap kanun keseksaan sivil, antaranya hukuman rotan yang menyakitkan.

Free Malaysia Today

Comments