Home Tempatan Suara kita didengari

Suara kita didengari

Kejayaan misi kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar

SHARE
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyambut kepulangan sukarelawan yang menyertai Misi Food Flotilla For Myanmar dengan kapal Nautical Aliya di Jeti Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang, semalam. Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dan ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. – UTUSAN/ SAHARUDDIN ABDULLAH

KLANG 23 Feb.– Setelah 20 hari menjadi ‘duta’ Malaysia dengan membawa misi kemanusiaan terbesar dalam sejarah negara ini bagi membantu etnik Rohingya yang dizalimi kerajaan Myanmar, sebanyak 230 sukarelawan Food Flotilla for Myanmar selamat tiba di tanah air hari ini.

Ketibaan mereka yang dianggap sebagai wira kerana terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk memastikan 2,300 tan bekalan makanan, ubat-ubatan serta pakaian sampai ke tangan etnik Rohingya, disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kapal Nautical Aliya yang menjadi simbol kepada jiwa besar Malaysia dalam menentang penca­bulan hak asasi, penindasan serta kezaliman kerajaan Myanmar itu tiba di Pelabuhan Klang di sini pada pukul 10 pagi.

Hishammuddin dalam ucapannya berkata, kejayaan misi kemanusiaan anjuran bersama Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu membuktikan bahawa suara Malaysia didengari masyarakat dunia.

“Kejayaan ini bukti suara kita didengari. Walaupun Malaysia hanya sebuah negara kecil berbanding negara lain tetapi ke­sungguhan kita dalam menjayakan misi ini menunjukkan bahawa perjuangan demi nilai kemanusiaan tiada batas­nya,” katanya.

Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mah Siew Keong; Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid.

Pada majlis sama, Malaysia Book of Records (MBOR) turut mengiktiraf Food Flotilla for Myan­mar sebagai misi kemanusiaan terbesar yang pernah dianjurkan sesebuah negara.

Sepanjang misi, Nautical Aliya singgah di Pelabuhan Yangon, Myanmar bagi mengagihkan sebahagian bantuan kepada etnik Ro­hingya dan golongan yang memerlukan di wilayah Rakhine sebelum belayar ke Pelabuhan Chittagong, Bangladesh untuk meneruskan penghantaran bantuan.

Kejayaan Food Flotilla for Myan­mar dalam mencapai objektifnya untuk membantu etnik Rohingya adalah hasil inisiatif dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan penderitaan yang dialami kelompok minoriti beragama Islam di Myanmar itu.

Misi kemanusiaan Malaysia itu turut disokong 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ASEAN dan antarabangsa mewakili 12 negara serta mendapat dukungan kuat daripada dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Hishammuddin ber­kata, kejayaan misi tersebut mem­bawa erti yang cukup bermakna bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi seluruh masyarakat dunia kerana pada akhirnya, nilai kemanusiaan akan mengatasi kezaliman.

“Kita sudah buktikan bagaimana kepelbagaian itu adalah kekuatan kepada Malaysia ketika negara lain bergolak kerananya, kita juga buktikan cara terbaik untuk bertindak balas ke atas kezaliman serta kekerasan ialah dengan menampilkan nilai kemanusiaan,” jelasnya.

utusan online

Comments