Home Uncategorized SSPN-i Plus penabungan terbaik, patuh syariah

SSPN-i Plus penabungan terbaik, patuh syariah

SHARE

SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyarankan simpanan SSPN-i Plus untuk tabungan pendidikan terbaik.

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sempena tahun penabungan, pelbagai program akan dijalankan bagi membudayakan amalan menabung.

“PTPTN secara bersungguh akan membudayakan minda masyarakat membuat tabungan awal melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang menjadi instrumen pilihan utama bagi simpanan untuk tujuan pendidikan di Malaysia.

“Melalui SSPN-i Plus, ibu bapa dapat buat simpanan secara lebih konsisten untuk masa depan anak-anak, dan memastikan akaun penabungan lebih berkualiti,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap ringgit yang disimpan di dalam SSPN-i Plus diberi jaminan  dan berpandukan sistem kewangan patuh syariah.

“Masyarakat bukan saja melabur bagi tujuan pendidikan, tetapi juga mendapat perlindungan takaful dan memperoleh dividen yang amat kompetitif.

“Dividen yang diberikan pada 2016 sebanyak empat peratus. Skim ini satu-satunya pelan simpanan yang mempunyai pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000,” katanya.

Sementara itu katanya, PTPTN bukan satu badan yang hanya memberikan pinjaman, malah berperanan dalam setiap program tanggungjawab sosial korporat dianjurkan.

Sinar Online

Comments